/ /PAS PUCHONG /

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong


Kereta
[1007]Terbuka:Berbayar
Darussyifa
[1008]Ahli Darussyifa':SenaraiNama

Tuesday, January 12, 2010

Penggunaan Kalimah Allah



Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut agama bukan Islam telah menjadi bahan polemik hangat dalam negara kita, dan ianya menjadi semakin panas setelah pihak Mahkamah Tinggi membuat keputusan memberi keizinan kepada pihak gereja Katholik menggunapakai perkataan Allah dalam bahan penerbitan mereka. Realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.

Apa yang menghairankan ialah, sebelum ini pengamal ajaran Kristian itu menyebut ‘tuhan’ dengan bahasa mereka masing-masing. Ada pun umat Islam yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bahasa tetap berlafaz dan menulis dengan perkataan “Allah” dari kitab suci mereka (Al-Quran). Perkataan “Allah” ini tidak diterjemahkan lagi ke dalam bahasa masing-masing, kerana perkataan Allah tidak mampu diterjemahkan ke dalam bahasa lain, dengan berpegang kepada makna asalnya dalam bahasa Al-Quran.

Persoalannya ialah, adakah ianya boleh dibenarkan begitu sahaja di atas konsep kebebasan beragama? Hakikatnya, kebebasan secara saksama seharusnya mempunyai batas sempadan yang tidak menimbulkan masalah sehingga boleh mencetuskan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia. Jangan sampai kita ‘terbabas’ dalam mencari kebebasan. Perkara ini perlu dijawab secara ilmu, kerana umat Islam menyebut dan menulis kalimah Allah mengikut maknanya yang sebenar sehingga menjadi akidah yang menjadi asas kepada amalan mereka.

Apa yang perlu difahami ialah, adakah penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama lain itu adalah mengikut makna perkataan “Allah” yang tepat, dengan maksudnya yang sebenar dari segi bahasa Arab? Atau adakah mereka yang bukan Islam itu memakai perkataan itu dengan mempunyai maksud mereka sendiri yang tidak tepat mengikut bahasa bangsa yang menggunakannya, sehingga ianya boleh menjadi ejekan atau mengurangkan maksudnya sehingga menyentuh perasaan penganut Islam yang memuja kalimah ini? Suatu hakikat yang perlu difahami dengan terang dan nyata ialah, bahawa umat Islam di serata dunia yang terdiri daripada berbagai bangsa dan bercakap berbagai bahasa pula, sedang menggunakan perkataan “Allah” mengikut maksudnya yang sebenar inilah.

Perkataan Allah disebut oleh orang Arab atau pengguna bahasa Arab yang menganut berbagai agama, sama ada penganut Yahudi, Kristian dan penyembah berhala sejak dahulu kala. Al-Quran menyebut secara jelas bahawa penganut agama-agama itu menyebut dan menulis perkataan Allah.

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya), sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?. (Surah al-Ankabut: 61)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya? sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah al-Ankabut: 63)

Firman Allah bermaksud:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (Surah Luqman: 25)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (Surah az-Zumar: 38)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" sudah tentu mereka akan menjawab: "yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui". (Surah az-Zukhruf: 9)

Firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (Surah az-Zukhruf: 87)

Ayat-ayat tersebut di atas mendedahkan bahawa orang-orang bukan Islam yang menganut berbagai agama itu mengaku wujudnya Tuhan yang bernama Allah mengikut naluri dalam Tauhid Rububiyyah (adanya Tuhan Pencipta Alam) dan ianya hanya sekadar itu. Namun kepercayaan mereka sebegini tidak menepati hakikat dari makna perkataan Allah mengikut maknanya yang sebenar, iaitu supaya mengesakan Allah dalam ibadah dan cara hidup seluruhnya.

Hari ini kita melihat mukjizat Al-Quran, apabila mereka memaksa diri untuk menggunakan perkataan Allah, pada hal selama ini mereka menggunakan perkataan yang menamakan Tuhan dengan bahasa masing-masing seperti God dan Lord; dan kalau itulah Allah mengikut kefahaman mereka maka ianya adalah tidak tepat dengan maksudnya.

Umat Islam tidak boleh memaksa kefahaman mereka yang salah ini untuk mengikut ajaran dan takrifan bahasa umat Islam, walaupun mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, tetapi mereka melantik tuhan-tuhan yang lain daripadanya dengan berbagai-bagai cara. Kalangan penganut Kristian dengan kepercayaan Trinity dengan mengadakan isteri dan anak bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Maha Suci itu. Agama yang lain menambah perlantikan Tuhan mengikut kefahaman mereka masing-masing.

Mengikut ajaran Islam, perkataan Allah ialah salah satu daripada nama-nama yang banyak bagi Tuhan Yang Maha Esa (Al-Asma Al-Husna).

Imam Al-Baihaqi menulis dalam kitabnya (Al-Asma wa Sifat).

“Perkataan Allah itu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak berbilang lebih dari satu dan tidak ada sekutu bagiNya (sama ada dinamakan bapa, anak dan apa sahaja). Allah mengikut bahasa Arab yang fasih dan nyata bermaksud, Dia Sahaja Tuhan, Yang Maha Esa, tidak ada lagi tuhan yang lain daripadaNya. Perkataan Allah itu daripada perkataan aL-Ilah dengan menambah al kepada perkataan asal Ilah yang bermakna Tuhan secara umum. Apabila diletakkan alif dan lam (al) menjadi yang khusus satunya yang dikenali dan diyakini benarnya, kemudian dimudahkan sebutannya dengan membuang beberapa huruf, maka disebut Allah. Penambahan al dalam bahasa Arab bertujuan makrifah (yang dikenali) secara khusus yang tidak boleh dikelirukan dengan kepercayaan salah, iaitu "berbilang tuhan”.

Al-Quran mengajar cara penjelasan makna yang sebenar, begitu juga hadith-hadith Rasulullah SAW. Penjelasan inilah yang dinamakan sebagai ‘menyampaikan dakwah’, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tanpa melarang mereka dari menyebut perkataan Allah, tetapi kita memberi penjelasan berdasarkan ilmu, bahawa penggunaan perkataan Allah oleh mereka yang percaya adanya sifat ketuhanan dan nama ketuhanan yang lain daripada Allah adalah tidak tepat.

Apabila Rasulullah SAW menghantar surat kepada raja-raja yang menganut agama kitab, dan disebut dalam surat perutusan itu firman Allah yang menjelaskan kepercayaan yang sebenar kepada Allah yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah". Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". (Surah Ali Imran: 64)

Perutusan Rasulullah SAW mendedahkah bagaimana golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) memakai perkataan yang sama apabila menyebut perkataan Allah, seterusnya dijelaskan dengan makna aqidah yang tepat secara ajaran tauhid, iaitu mengesakan Allah tanpa syirik, sama ada syirik itu melakukan upacara ibadat dengan menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, atau mematuhi hukum-hukum dan undang-undang ciptaan para ahli agama (pendita) dan pemimpin-pemimpin (arbab) yang mencipta undang-undang dan hukum yang menentang hukum Allah. Mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dalam kitab yang diturunkan kepada rasul mereka sendiri, atau mengharamkan apa yang dihalalkan, atau memberi hak ketuhanan kepada ahli agama sehingga boleh mengampunkan dosa yang menjadi hak Allah sahaja.

Kesimpulannya, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali. Ini adalah kerana menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci kepada umat Islam dan bercanggah dengan makna mengikut bahasa yang diamal oleh umat Islam, adalah dikira menodai kesucian dan kemurnian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Imam Ali K.W, menegaskan kepada mereka yang menyalahgunakan perkataan yang benar dengan tujuan yang salah, dengan apa nama sekalipun:

(Kalimahnya benar tetapi dimaksudkan dengan tujuan yang salah).

Kalimah Allah adalah paling benar, tetapi kalau menulis atau menyebut perkataan Allah laksana memakai jenama barangan untuk melariskan jualan di tengah masyarakat umat Islam, maka ianya sangat menyentuh sensitiviti umat Islam. Keadaan ini akan menyebabkan semua kalangan umat Islam yang berbeza pertubuhan (NGO), fahaman politik dan individu, bersatu untuk mengeluarkan suara hati mereka yang sangat memuliakan kalimah Allah. Suasana sebegini boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita.

Al-Quran juga memerintah penganutnya supaya tidak menghina dan mencaci penganut agama lain sehingga menyebabkan mereka mencaci Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An'am: 108)

Demikianlah keterbukaan Islam terhadap kebebasan beragama dengan batas sempadan yang tidak menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai agama.

Wallahua’alam.

7 Januari 2010

Thursday, January 7, 2010

AG jangan buat lawak antarabangsa kes enjin hilang



Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
THURSDAY, 07 JANUARY 2010 06:51

Kenyataan Media


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) meminta agar Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail tidak membuat lawak antarabangsa dalam kes kehilangan dua unit enjin Jet Pemintas F-5E milik Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) yang bernilai RM 100 juta.


PAS melihat, pendakwaan dua orang tertuduh melibatkan anggota TUDM, Sarjan N. Tharmendran dan Pengarah Syarikat K. Rajandran Prasad sebagai melepaskan batuk ditangga dan tidak serius.


PAS yakin bahawa ada lagi pihak-pihak lain yang terlibat tetapi tidak didakwa. Kes ini melibatkan kehilangan dua unit enjin Jet yang besar bukannya kehilangan dua biji telur ayam atau gula-gula 'Hacks'.


Adalah mustahil kes yang boleh diklasifikasikan sebagai kes jenayah antarabangsa hanya melibatkan dua orang sahaja.


Mustahil bagi N. Tharmendran membawa keluar dua enjin ini tanpa dibantu oleh sesiapa. Adalah tidak logik bahawa semua dokumen pelupusan enjin berkenaan hanya diketahui oleh beliau sahaja.


TUDM mempunyai ramai anggota yang menjaga stor logistik dan tempat enjin berkenaan disimpan. Maka, adalah mustahil jika enjin ini boleh dikeluarkan dari kawasan TUDM yang dikawal rapi secara berseorangan tanpa kerjasama pihak yang lebih tinggi pangkatnya dari Sarjan ini.


PAS bertegas untuk mendesak Kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes ini sepenuhnya dan tidak sekadar melepaskan batuk ditangga dengan mendakwa dua orang yang dianggap rakyat Malaysia sebagai kambing hitam. Mereka yang bertanggungjawab harus didakwa walaupun apa jua pangkatnya, termasuk Menteri (jika ada).


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wednesday, January 6, 2010

Jangan kelirukan atau politikkan kalimah Allah- PAS


KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS memberi peringatan kepada semua pihak agar tidak menyalahgunakan perkataan Allah bertujuan untuk mengelirukan atau menjadikan isu tersebut sebagai politik murahan mendapat sokongan rakyat.

Pendirian PAS itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan yang dibaca Ketua Penerangan, Idris Ahmad selepas mesyuarat khas Lajnah Politik bersama Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Bagaimanapun PAS ujar Abdul Hadi, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakanpilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama juga katanya, telah termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walau demikian, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama,"kata kenyataan itu.

PAS turut menjelaskan bahawa berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkanuntuk digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Namun, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab harus dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, PAS dengan tegas menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat di negara ini.

"PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan di jamin oleh Islam," katanya lagi..

iisu20allah.jpg

Turut hadir dalam mesyuarat sebelum itu Presiden PAS,Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh.

Pendirian tersebut juga dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk melihat kepada pandangan semua pihak sebelum ini.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

(Gambar: Antara pemimpin PAS yang menyertai sidang media isu penggunaan kalimah Allah di pejabat Agung PAS malam tadi)

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya memberitahu Herald mempunyai hak pada sisi perlembagaan untuk menggunakan perkataan tersebut.

Keputusan ini menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak termasuk 13 Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri melahirkan kebimbangan penggunaan perkataan Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hari ini, KDN akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Disember.

KENYATAAN PENUH

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dan dibacakan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad :

PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

‘‘Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah’’.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.-4/1/2010

Monday, December 28, 2009

ROYALTI : SIAPA YANG CELUPAR ?

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Menteri Besar Kelantan.
Tanggal: 21 Zulhijjah 1430 / 8 Disember 2009

Pada umumnya, Orang Melayu ini beragama Islamlah. Akan tetapi , apabila ada parti Melayu dan pemimpin parti Melayu sebut agama lain politik lain maka inilah masalah. Ini kecelaruan pemikiran dan ini keceluparan. Keceluparan jenis ini tidak terbanding dengan keceluparan saya seperti yang dituduh Dato’ Awang Adek dalam kenyataannya di Pasir Mas pada 6 Disember 2009.

Saya dilihat celupar semata-mata kerana mempertahankan hak rakyat Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti. Saya dilihat celupar kerana ingin terus berdoa kepada Allah SWT agar Allah membuka pintu hati Perdana Menteri dan tidak terus menzalimi rakyat Kelantan. Saya dilihat celupar semata-mata kerana menegur presiden Umno diatas keengganan beliau untuk memberikan royalti itu kepada sebuah kerajaan negeri yang sah. Saya dipandang celupar kerana mendoakan kemusnahan kepada sesiapa jua yang zalim kerana royalti itu hak dari perut bumi kami. Ia hak yang termaktub melalui sebuah perjanjian bertulis yang sempurna di tahun 1974.

Celuparkah saya semata-mata kerana jujur membaca dan menafsir maksud perjanjian itu tanpa keliru? Kenapa harus ditukar pemberian dari royalti kepada wang ehsan dan diberi pula melalui sebuah jabatan kerajaan? Semua orang tahu, JPP itu bukan kerajaan. Seperti Jabatan Pertanian atau Jabatan perkhidmatan Haiwan, ia cuma Jabatan kerajaan. Pada saya sikap Umno yang sekular selama inilah yang menghalalkan dia bertindak sebegitu liar. Ini kerana Ugama Islam telah diletak diluar dari kandang politik dan pemerintahan. Dia(Umno) meletakkan soal dosa pahala diluar dari urusan pemerintahan. Barangkali bagi Umno, agama tidak lebih dari pengertian “religion” seperti apa yang difahami oleh orang barat. Inilah punca atau ibu kapada segala keceluparan Umno baik dalam isu royalti di Kelantan atau pelbagai isu keadilan, rasuah, demokrasi dan good governance disepanjang 52 tahun pemerintahan.

Sikap Umno yang menolak Islam syamil yakni Islam komprehensif padahal Allah Taala sebut, “ud khulu fis silmikaafah” iaitu hendaklah kamu terima Islam secara keseluruhan ini amat-amatlah mendukacitakan. Sepanjang berpuluh tahun menegur pendirian yang salah ini, seingat saya, saya belum lagi menerima respons Umno baik secara bertulis ataupun lisan. Ini yang menyebabkan kita tidak sanggup lagi ditipu melalui coklat Kit Kat bernama Kerajaan Perpaduan. Itu pertama .

Kedua, sesungguhnya amalan ia bercanggah dengan amalan Nabi SAW sendiri. Pada bila-bila masa sekalipun, tidak ada ruang dalam hidup Nabi, dalam hidup para khalifah dan para sahabat r.a. yang mengasingkan politik dengan agama dan agama dari politik.

Yang ketiga, didalam al-Quran; segala keperluan hidup manusia meliputi masalah sosial, masalah akidah, masalah ekonomi, masalah rumah tangga, masalah aman dan damai, masalah protokol dan hubungan diplomatik termasuk mengirim surat kepada semua raja dan pembesar negara- semua sekali ada disentuh. Ia disempurnakan lagi oleh riwayat dan hadith-hadith Nabi SAW.

Yang keempat bila kita asingkan politik dari agama, kita nak ganti dengan apa di tempat yang lompang itu? Ia sama ada kita turut penjajah atau turut nafsu ammarah kita. Dengan amalan songsang berkenaan apa jaminan di akhirat kelak, apa yang kita tiru selain dari Islam itu, akan mendapat keredhaan Allah?

Yang kelima, jika hidup kita dapat diurus sendiri tanpa perlu menurut Islam, apa gunanya kita dikirimkan oleh Allah SWT seorang Nabi? Manusia boleh fikir sendiri dan berbuat sesuatu mengikut nafsu sendiri? Pegangan dan amalan ini cukup sinonim dengan parti Umno. Inilah parti dan orang yang sebenar-benarnya boleh kita gelarkan sebagai bermulut celupar.

Seingat saya, sewaktu isu hak royalti mula-mula timbul, “orang ini” jugalah yang menyebut bahawa Kelantan tidak ada hak ke atas royalti. Ini terang-terang mendahului Perdana Menteri. Macam mana PM yang juga Presiden Umno di ketika itu, belum kata apa-apa dan belumpun putus apa-apa lagi, tiba-tiba Timbalan Pengerusi Umno Negeri sudah membuat keputusan? Ini orang panggil mendahului bos. Ini sebuah keceluparan yang melampau. Lebih melampau lagilah apabila kita hubungkan sikap celupar Dato’ Awang ini dengan sikap menolak Islam Umno yang lebih besar. Keceluparan jenis ini dua kali ganda lebih berbahaya.

Dengan pengisytiharan Perdana Menteri Malaysia terkini yang Kelantan akan diberi wang ehsan pula (walaupun saya tetap tidak boleh terima dan tetap akan terus berdoa), maka sahlah yang Dato’ dari Bachok ini sudah melampau batas. Dengan menyalahi segala tertib dan protokol, dia sudah menjadi terlebih celupar.

Hari ini pula, Perdana Menteri berkata bahawa beliau hanya akan mengikut undang-undang. Setahu saya, Akta Pembangunan Petroleum 1974; itulah undang-undangnya dan Kuli lah yang terlibat secara langsung dalam merangka serta menentukan kandungannya. Melalui blog beliau dalam Razaleigh.com misalnya, kita diberitahu dengan jelas bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh semua Kerajaan Negeri dengan Petronas di ketika itu dibuat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang sangat mudah hingga mana-mana budak sekolahpun boleh faham.( That agreement is made out in language simple enough for a schoolboy to understand, in both Bahasa Malaysia and English).

Dalam konteks hak royalti 5% Kerajaan-Kerajaan Negeri, Yang Amat Mulia Tg. Razaleigh menyebutnya begini:”The States’ rights to 5% of profit derived from the extraction of any petroleum resources is based on a quid pro quo according to which the States vested entirely and in perpetuity all their rights and claims to petroleum resources to PETRONAS. In return for this PETRONAS is legally bound to pay the states the 5% directly.” Pada saya ini terlalu jelas.

Keengganan pusat memberi royalti kepada Kelantan dengan menukarnya dalam bentuk pemberian wang ehsan bukan sahaja akan melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, bahkan lebih besar, kerajaan Pusat juga akan dilihat menidakkan perjanjian yang sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat di negeri-negeri tersebut. Mustahil kerajaan-kerajaan negeri lain tidak khuatir dengan sikap dan pendirian Kerajaan Pusat pimpinan UBN yang tidak konsistan.
Dengan sedikit kajian seperti yang saya kutip dari analisis di atas, saya betul –betul tidak faham bagaimana boleh seorang Perdana Menteri, masih yakin yang beliau bercakap mengikut undang-undang. Undang-undang mana lagi sedangkan apa yang Kuli sebut itulah undang-undangnya ! Di sini,salahkah jika mana-mana rakyat yang waras beranggapan yang Perdana Menteri mereka sudah meracau? Lebih teruk dari Awang Adek, Presiden Umno sendiri boleh dilihat sedang bercakap merapik dan bercakap celupar ?

Dalam menangani hal-hal yang berbelit-belit seperti inilah kadang-kadang, hati saya cepat terluka. Dalam keadaan-keadaan beginilah juga, kedua belah tangan saya menjadi cukup ringan untuk diangkat ke langit. Jika orang marah saya berdoa dan mengadu kepada Allah secara kuat dan terbuka ditempat ramai dalam kes penganiayaan ini, maka siapakah yang boleh menghalang saya dan rakyat saya dari terus berdoa dalam gelap di malam buta biarpun bersendirian? Saya pasti, pada akhirnya Allah tidak akan bersama dengan orang-orang yang menindas, zalim dan menekan.

"Bahkan Dialah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNyajika Dia kehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu.)
- Maksud Surah al-An 'am, Ayat 41-

Friday, December 25, 2009

Manusia tidak digunakan akal, lebih teruk daripada haiwan



Manusia tidak digunakan akal, lebih teruk daripada haiwan - Tafsir surah al-An'am ayat 35-36

Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Haiwan yang tidak berakal sentiasa tunduk kepada apa yang ditentukan oleh Allah ke atasnya tanpa sebarang pilihan lagi. Tetapi manusia khususnya yang mempunyai akal ada yang memilih selain perintah Allah untuk dilaksanakan dalam kehidupan mereka.

Mereka menjadikan perintah hawa nafsu sebagai sekutu Allah dalam mengatur kehidupan di dunia. Mereka tidak menerima hidayah Allah lalu mereka menjadi manusia yang sesat dan pada hari akhirat kelak dihumbankan ke dalam neraka Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud "oleh itu, janganlah kamu menjadi (salah seorang) dari orang-orang yang jahil." (Surah al-An'am :35)

Ertinya janganlah pula kamu terdiri daripada orang yang tidak mengetahui bahawa Allah boleh menentukan semua manusia menerima agama yang satu (Islam) jika Allah menghendaki-Nya (wahai Muhammad s.a.w). Tetapi Allah jadikan mereka tidak menerima hidayah kerana pilihan mereka sendiri bukan dipaksakan ke atas mereka sebagaimana dipaksakan ke atas haiwan yang tidak berakal menerima segala ketentuan Allah tanpa pilihan lagi.

Oleh itu janganlah engkau (hai Muhammad s.a.w) merasakan pembohongan dan penentangan orang-orang kafir terhadap kamu, suatu yang amat besar dan besar bagimu sehingga engkau meninggalkan dakwah dan perjuangan Islam.

Anggaplah semua itu suatu yang lumrah dan ujian yang mesti datang yang ditentukan oleh Allah ke atas setiap rasul-hai Muhammad. Anggaplah semua itu masalah biasa sahaja dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.

Yang penting ialah kamu sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu." (Surah Muhammad:7)

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud,"Hanya orang-orang yang menyahut (seruan-MU itu) ialah orang yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran)." (Surah al-An'am:36)

Dalam ayat ini Allah SWT memperingatkan Nabi s.a.w bahawa janganlah baginda merasa berat hati dan terlalu sukar menghadapi penentangan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah (orang-orang kafir) dan terhadap sikap mereka yang tidak mahu menyahut seruan dakwahnya, mengesakan Allah dan mengakui kenabiannya.

Ini kerana sesungguhnya tidaklah orang yang menyahut seruan dakwah Nabi s.a.w melainkan sesungguhnya Allah telah membuka pendengaran mereka untuk menerima kebenaran dan mempermudahkan mereka untuk mengikut jalan-Nya.

Inilah antara sifat yang ada pada orang yang beriman yang sentiasa mahu menerima kebenaran dan berada di atas jalan yang betul, tidak pernah menutup mata hati mereka untuk berbuat demikian.

Berlawanan sifatnya dengan mereka yang kafir, mereka tidak mahu mendengar dakwah Nabi s.a.w walaupun telinga mereka tidak pekak.

Mereka tidak mahu memahami apa yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi s.a.w sebagaimana binatang ternakan tidak memahami apa yang dicakapkan oleh pengembalanya walaupun ada telinga dan dapat mendengarnya.

Bahkan orang kafir itu lebih teruk lagi berbanding dengan haiwan tersebut dinisbahkan dengan akal fikiran yang dikurnia oleh Allah kepada mereka.

Mata hati mereka itu telah tertutup tidak dapat melihat dan tidak dapat menerima kebenaran. Mereka itu seolah-olah seperti orang mati, tidak dapat melihat, mendengar dan merasakan sesuatu dengan hati mereka. Oleh kerana hati mereka mati (tertutup dari menerima kebenaran), Allah sifatkan jasad mereka juga seolah-olah seperti orang mati dengan firman yang bermaksud," dan orang-orang yang mati, Allah akan bangkitkan mereka semula." (Surah al-An'am :36)

Ahli tafsir berkata, orang-orang yang kafir akan dibangkitkan pada hari kiamat bersama-sama dengan orang-orang yang mati, yakni golongan yang memekakkan telinga, membutakan mata dan memetraikan hati mereka dari mendengar Islam dan menerima dakwah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dan para ulama di dunia dahulu.

Mereka dibangkitkan untuk menerima balasan yang setimpal dengan kekufuran mereka terhadap ayat-ayat Allah dan perintah Nabi-Nya s.a.w

Thursday, December 3, 2009

Presiden arah tarik orang muda, daftar pemilih sebagai persiapan PRU

Presiden arah tarik orang muda, daftar pemilih sebagai persiapan PRU
Thursday : 3 December 2009 | 12:36 pm | admin
Oleh HASHIM ABDULLAH

TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan petugas parti supaya berusaha keras menarik lebih ramai masyarakat khususnya anak muda menyokong dan menjadi ahli PAS.

Tumpuan juga harus diberikan kepada pendaftaran ahli dan penyokong ke dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka layak mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau ketika berucap pada ceramah anjuran PAS Kawasan Temerloh baru-baru ini memberitahu, gerakan berterusan ke arah itu perlu diperkasakan sebagai persiapan awal berdepan pelbagai kemungkinan sebelum berlakunya pilihan raya.

“Kita ada pengalaman bagaimana petugas dan penyokong parti yang kuat bekerja dalam program parti terutama di musim pilihanraya tetapi gagal menunaikan tanggung-jawab mengundi semata-mata kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih. Ini merugikan,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan rakyat sebagai hakim yang adil dalam menghadapi proses pilihanraya bagi menentukan pemimpin yang dipilih benar-benar jujur melaksanakan tanggung-jawab kepimpinan, Abdul Hadi mahukan rakyat di negara ini mencontohi negara yang maju dalam amalan demokrasi berpilihanraya bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Rakyat di negara ini mestilah mencontohi negara yang maju dalam system demokrasi berpilihanraya. Di negara lain rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai hakim bagi menjatuhkan parti yang melakukan kesilapan dalam pemerintahan.

“Kita tengok di Amerika dan di India juga di negara lain pemimpin bertukar ganti kerana rakyat bertindak secara bijak dan adil. Di negara kita dah 50 tahun lebih tak tukar-tukar, walau pun pemerintah rasuah, pemerintah menyeleweng. Ini tak betul, rakyat kena berlaku adil,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran jualan lot tanah wakaf Pusat Tarbiah PAS Darul Ansar, Lanchang.

Lokasi tersebut terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Tol Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur. Pada asalnya tanah tersebut milik aktivis PAS Hanipah Ahmad yang mewakafkan tapak markas Darul Ansar.

Atas faktor kesihatan dan usia, beliau kemudian dengan rela hati mewakafkan kawasan bangunan markas yang ada kepada PAS Kawasan Temerloh. Manakala tanah selebihnya yang berbaki kira-kira satu ekar yang dipenuhi tanaman kelapa sawit juga dijual dengan nilai semasa RM50,000.

Dalam mesyuarat AJK PAS Kawasan Temerloh pada 26 Jun 2009, telah bersetuju membelinya memandangkan kawasan berkenaan amat strategik untuk dibangunkan pada masa akan datang.

Untuk menyelesaikan bayaran tersebut PAS Temerloh bersetuju menggunakan kaedah menawarkan kepada ahli dan orang ramai yang ingin membuat kebajikan di dunia dan akhirat dalam bentuk jual beli wakaf bagi satu lot satu kaki persegi bernilai RM10 secara terbuka.

Tolak Islam ibarat haiwan tak dengar seruan


Tolak Islam ibarat haiwan tak dengar seruan
Oleh Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Apabila ALLAh SWT menyebutnya (perkataan haiwan), maka berlakulah apa yang disebut itu. Ramai yang menyebut soal mengikut nenek moyang zaman dahulu. Al-Quran dengan jelas menyebut tentang ucapan itu.

Allah SWT sudah mengetahui pada azali atau qadim lagi bahawa ada manusia yang mahu bercakap tentang masalah tersebut, apabila diajak kepada Islam mereka mengatakan apa yang kamu buat itu tidak ada pada zaman dahulu. Dengan sebab itulah Allah SWT menyebut di dalam al-Quran menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Bandingan (orang yang mendakwahkan) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman dan degil itu) samalah seperti orang yang memanggil binatang." (Surah al-Baqarah ayat 171)

Kalau kita memanggil ayam atau kambing yang jinak, binatang itu semua datang kepada kita tetapi sebaliknya yang liar biasanya tidak ada datang kepada kita setelah dipanggil. Soalnya seruan kita sekarang ialah kepada manusia yang jinak hatinya dengan dakwah. Manusai yang liar lebih teruk daripada kambing lagi dalam persoalan ini iaitu mereka tidak mahu mendengar seruan Islam.

Bandingan orang yang mendakwahkan orang-orang yang tidak beriman yang perangainya degil samalah seperti orang yang memanggil binatang dan binatang itu hanya mendengar sekadar suara panggilan sahaja sedangkan maksud panggilan itu tidak diketahui. Firman Allah bermaksud :"Mereka itu pekak, bisu, buta maka mereka itu tidak berakal." (Al-Baqarah ayat 171)

Bukan mereka tidak ada otak, tetapi mereka tidak mahu menggunakan akal seolah-olah mereka tidak berakal, Sepatutnya apabila disebut tentang masalah ini, mereka dapat menilai dengan akal mereka akan kebenaran dakwah itu.

Tetapi mereka tidak menggunakan akal dengan betul, maka Allah SWT mengatakan mereka itu pekak, bisu dan buta. Kalau orang itu buta dan bisu tidak boleh diambil untuk kira bicara begitulah juga kalau orang itu tuli dan bisu, apa lagi kalau ketiga-tiga kecacatan itu terdapat pada diri seseorang itu.

Allah SWT mengatakan orang yang tidak mahu menerima pengajaran daripada orang yang mendakwahkannya sebagaimana orang kafir yang diajak oleh Nabi Muhammad s.a.w mereka tidak menerima seruan baginda walau apa yang didakwahkannya adalah betul dan sesuai dengan akal manusia.

Mereka gemar mendengar ucapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad s.a.w tetapi apabila Nabi memberitahu tentang Islam, mereka menolaknya mentah-mentah lalu Allah SWT menyatakan bahawa mereka itu pekak, bisu dan buta maka mereka itu tidak berakal kerana tidak menggunakan akal yang diberi oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman! makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada ALLAH, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya." (Surah al-Baqarah ayat 172)

Setelah ALLAH SWT menyatakan tentang betapa perlunya kepatuhan terhadap hukum Allah SWT da apa yang dinyatakan Allah itulah yang baik dan yang lain daripada itu adalah tidak baik.

Manakala syaitan sentiasa menipu kita supaya kita sentiasa melakukan sesuatu yang tidak baik yang diharamkan oleh Allah SWT, di dalam ayat ini Allah SWT berfirman berhubung dengan suatu perkara yang amat penting di dalam kehidupan manusia iaitu dalam masalah makan dan minum mereka.

Makan dan minum adalah sifat tabii manusia

Persoalan makan dan minum adalah suatu tabii manusia yang dijadikan oleh Allah. Kalau ada yang berkata ada manusia yang tidak makan, itu adalah suatu kenyataan yang tidak benar kerana tidak makan dan minum bukan sifat manusia. Kalau makhluk itu manusia, dia mesti makan dan minum. Allah SWT telah mengetahui semasa Dia mahu menjadikan manusia itu bahawa mereka mesti makan dan minum untuk teruskan kehidupan.

Kalau kita baca dalam kitab Tasuwuf,ia ada menyebut umpamanya terdapat manusia yang tidak berhajat kepada makan dan minum, iaitu semuanya tidak betul kecuali yang diwaridkan (yang didatangkan) pada saat diberi pertolongan oleh Allah SWT.

Umpamanya pada saat ketika dikepung, tidak ada makanan sebagaimana yang berlaku pada zaman fitnah dajjal yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. Pada zaman itu tidak ada makanan dan minuman melainkan apa yang ada pada Dajjal. Ada antara orang yang beriman yang menjadi makanannya, ketika itu ialah zikir dan tasbih mengingati Allah SWT. Makanan rohani inilah yang memberi kekuatan kepada jasmaninya.

Ini berlaku di luar daripada keadaan biasa (itu adalah luar biasa) di mana keadaan biasanya manusia mesti makan kerana Nabi sendiri pun makan. Takkanlah manusia yang lain lebih hebat daripada Nabi s.a.w. Oleh kerana makan dan minum itu suatu benda yang mustahak di dalam kehidupan manusia, maka Allah SWT menyebut tentang hukum-hakam berhubung dengannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Makanlah kamu daripada barang-barang yang baik yang telah Kami rezeki kepada kamu." (Al-Baqarah ayat 172)

Di mana ayat ini menjadi hujah kepada orang yang menyatakan beberapa jenis binatang yang diharamkan yang tidak disebut di dalam al-Quran.

Sebabnya berdasarkan kepada Ijtihad, ada di kalangan ulama mengatakan sesuatu yang diharamkan ialah apa yang disebut dalam al-Quran sahaja seperti bangkai, darah, daging babi (tidak termasuk lemak dan darah binatang itu dan lain-lain).

Oleh kerana itu ada yang berpendapat tulang babi adalah halal iaitu golongan az-Zahiriyyah (golongan yang berpegang keada zahir ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w sahaja).

Umpamanya bagi mereka, bukan sahaja telur penyu boleh dimakan, bahkan penyu itu sendiri juga boleh dimakan. Ulama' mazhab Maliki umpamanya memberi pendapat bahawa daging harimau dan buaya adalah makhruh kerana tidak berapa sedap untuk dimakan.

Mereka memberi pendapat demikian kerana tidak ada ayat yang menjelaskan secara terang-terangan bahawa daging harimau, buaya dan seumpamanya sebagai haram.

Cukuplah dengan dasar-dasar umum yang ada iaitu apa yang baik itulah yang dihalalkan oleh Allah SWT dan apa yang tidak baik itulah perkara yang diharamkan oleh-Nya.

Antara benda yang tidak baik ialah apa yang dijelaskan di dalam hadis (walaupun menjadi pertikaian di kalangan ulama) iaitu binatang-binatang yang menggunakan kuku dan paruhnya untuk merobek bangkai yang menjadi sumber makanannya.

Binatang-binatang tersebut adalah haram dimakan mengikut mazhab Imam Syafie kerana cara binatang tersebut makan adalah amat keji dan kotor. Begitulah juga dalam perkara-perkara lain.
SETIAP SAAT PERUBAHAN HENDAKLAH UNTUK MEMENANGKAN ISLAM
Setiap saat umat Islam hendaklah melakukan perubahan pada dirinya. Firman Allah;"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia".[Ar Ra'd:11]
Oleh itu, jalan yang selamat adalah kembali berpegang pada Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w semoga umat Islam Malaysia sentiasa mendapat perlindungan Allah Taala.
______Dari Lajnah Penerangan Dan Dakwah_____