/ /PAS PUCHONG: Presiden arah tarik orang muda, daftar pemilih sebagai persiapan PRU /

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong


Kereta
[1007]Terbuka:Berbayar
Darussyifa
[1008]Ahli Darussyifa':SenaraiNama

Thursday, December 3, 2009

Presiden arah tarik orang muda, daftar pemilih sebagai persiapan PRU

Presiden arah tarik orang muda, daftar pemilih sebagai persiapan PRU
Thursday : 3 December 2009 | 12:36 pm | admin
Oleh HASHIM ABDULLAH

TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan petugas parti supaya berusaha keras menarik lebih ramai masyarakat khususnya anak muda menyokong dan menjadi ahli PAS.

Tumpuan juga harus diberikan kepada pendaftaran ahli dan penyokong ke dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan mereka layak mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau ketika berucap pada ceramah anjuran PAS Kawasan Temerloh baru-baru ini memberitahu, gerakan berterusan ke arah itu perlu diperkasakan sebagai persiapan awal berdepan pelbagai kemungkinan sebelum berlakunya pilihan raya.

“Kita ada pengalaman bagaimana petugas dan penyokong parti yang kuat bekerja dalam program parti terutama di musim pilihanraya tetapi gagal menunaikan tanggung-jawab mengundi semata-mata kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih. Ini merugikan,” katanya.

Menyentuh mengenai peranan rakyat sebagai hakim yang adil dalam menghadapi proses pilihanraya bagi menentukan pemimpin yang dipilih benar-benar jujur melaksanakan tanggung-jawab kepimpinan, Abdul Hadi mahukan rakyat di negara ini mencontohi negara yang maju dalam amalan demokrasi berpilihanraya bagi menjaga kepentingan rakyat dan negara.

“Rakyat di negara ini mestilah mencontohi negara yang maju dalam system demokrasi berpilihanraya. Di negara lain rakyat menggunakan kuasa mereka sebagai hakim bagi menjatuhkan parti yang melakukan kesilapan dalam pemerintahan.

“Kita tengok di Amerika dan di India juga di negara lain pemimpin bertukar ganti kerana rakyat bertindak secara bijak dan adil. Di negara kita dah 50 tahun lebih tak tukar-tukar, walau pun pemerintah rasuah, pemerintah menyeleweng. Ini tak betul, rakyat kena berlaku adil,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelancaran jualan lot tanah wakaf Pusat Tarbiah PAS Darul Ansar, Lanchang.

Lokasi tersebut terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Tol Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur. Pada asalnya tanah tersebut milik aktivis PAS Hanipah Ahmad yang mewakafkan tapak markas Darul Ansar.

Atas faktor kesihatan dan usia, beliau kemudian dengan rela hati mewakafkan kawasan bangunan markas yang ada kepada PAS Kawasan Temerloh. Manakala tanah selebihnya yang berbaki kira-kira satu ekar yang dipenuhi tanaman kelapa sawit juga dijual dengan nilai semasa RM50,000.

Dalam mesyuarat AJK PAS Kawasan Temerloh pada 26 Jun 2009, telah bersetuju membelinya memandangkan kawasan berkenaan amat strategik untuk dibangunkan pada masa akan datang.

Untuk menyelesaikan bayaran tersebut PAS Temerloh bersetuju menggunakan kaedah menawarkan kepada ahli dan orang ramai yang ingin membuat kebajikan di dunia dan akhirat dalam bentuk jual beli wakaf bagi satu lot satu kaki persegi bernilai RM10 secara terbuka.
SETIAP SAAT PERUBAHAN HENDAKLAH UNTUK MEMENANGKAN ISLAM
Setiap saat umat Islam hendaklah melakukan perubahan pada dirinya. Firman Allah;"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia".[Ar Ra'd:11]
Oleh itu, jalan yang selamat adalah kembali berpegang pada Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w semoga umat Islam Malaysia sentiasa mendapat perlindungan Allah Taala.
______Dari Lajnah Penerangan Dan Dakwah_____