/ /PAS PUCHONG: March 2010 /

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong


Kereta
[1007]Terbuka:Berbayar
Darussyifa
[1008]Ahli Darussyifa':SenaraiNama

Wednesday, March 31, 2010

Model Ekonomi Baru (MEB) tiada roh - Presiden PAS

Model Ekonomi Baru (MEB) tiada roh - Presiden PAS
Ditulis oleh Presiden PAS
WEDNESDAY, 31 MARCH 2010


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
MODEL EKONOMI BARU




Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Sesuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.


MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.


MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.


Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.


Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.

Sunday, March 28, 2010

Ratusan umat Islam bantah akhbar Sweden


Tulisan: Green Background

Ramai umat Islam telah berkumpul di depan kedutaan Sweden di ibu negara bagi menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan tiga akhbar Sweden yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, mereka berarak ke kedutaan tersebut. Perarakan tersebut diketuai Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.


Di samping bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan kata-kata “Idiot Sweden”, “Halau Sweden”. Kain rentang dan poster bertulis “Don't Insult Our Prophet Muhammad", (Jangan Hina Nabi Kami Muhammad). Polis telah memberi kerjasama untuk memastikan lalulintas berjalan lancar.

Setibanya perarakan itu di kedutaan Sweden di Plaza OSK, Jalan Ampang, Nasrudin dan Jais telah bertemu pihak kedutaan tersebut untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandum dua halaman itu telah ditandatangani 19 NGO Islam antaranya menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelukis karikatur itu dan tiga akhbar yang didakwa menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Selepas itu, pemimpin PAS dan NGO telah menyampaikan kata-kata agar pihak Sweden mengambil tindakan tegas keatas mereka yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Beliau dalam ucapannya menyifatkan karikatur yang disiarkan itu amat menyentuh sensitiviti dan mencabar umat Islam seluruh dunia.




Selepas itu Nasarudin membakar bendera Sweden sebagai memprotes tindakan pihak Sweden menghina Nabi Muhammad s.a.w. "Kita berhimpun serentak bersama dengan umat Islam di seluruh dunia, disebabkan kebiadaban pelukis karikatur berkenaan"."Oleh itu kita minta kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas kepada pelukis dan akhbar itu," katanya. Manakala Jais pula dalam ucapannya berkata GPMS tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menghina Nabi Muhammad."Mana-mana pihak yang menghina Melayu dan Islam, kita akan bersama-sama (bangkit) untuk menyatakan pendirian kita dengan jelas," katanya.

Friday, March 26, 2010

Selepas diserang Utusan: Adun Selangor pertahan Sultan


SHAH ALAM, 22 Mac: Sekurang-kurangnya lima Adun Selangor akan mengadakan sidang media esok bagi mempertahankan Sultan mereka selepas diserang oleh Utusan Malaysia melalui ruangan Awang Selamat, iaitu ruangan yang ditulis oleh pemimpin editorial akhbar Umno itu.

Kelima-lima mereka memanggil satu sidang akhbar khas atas nama "ADUN-ADUN SELANGOR PERTAHANKAN SULTAN SELANGOR."

Mereka yang akan mengadakan sidang akhbar itu adalah Amirudin Shari (Batu Caves), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Dr. Abdul Rani Osman (Meru) dan Dr. Ahmad Yunus (Sijangkang).

Ia akan diadakan jam 12.30 tengahari esok di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Annexe Bangunan SUK, Shah Alam.

Utusan Malaysia hari ini, melalui tulisan Awang Selamat, menyiarkan satu tulisan yang disifatkan sebagai mempertikaikan tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang membatalkan rancangannya untuk merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini.

Ulasan yang dibuat oleh pimpinan editorial Utusan itu dianggap mencabar keputusan Sultan Selangor itu dan mengungkit siapakah yang membela raja-raja Melayu selama ini.

Antaranya, Utusan melaporkan:

"Awang ingin bertanya kepada semua, siapakah paling lantang dan ke hadapan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu ketika dihina, jika bukan Perkasa. Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar?"

Ekoran keputusan Sultan Selangor tidak mahu merasmikan mesyuarat itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir akan menggantikannya.

Wednesday, March 24, 2010

1 Malaysia Najib lompang, tiada pengisian – Presiden PAS


Ditulis oleh Harakahdaily
TUESDAY, 23 MARCH 2010


KUALA LUMPUR, 23 Mac - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lompang dan tiada pengisian yang jelas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam berkata, 1Malaysia belum bebas daripada masalah moral di kalangan pemimpin Umno/BN.


"Bukan saya marah 1Malaysia, tapi jangan tulis 1Malaysia besar-besar tapi pengisian tidak tepat. Di negeri saya (Terengganu) contohnya, banyak sekolah didirikan di pedalaman tapi tiada pelajar. Ada kelas yang langsung tidak ada pelajar disebabkan kroni-kroni Umno/BN berebut untuk mendapatkan projek sehingga berlakunya lebihan sekolah.


"Tetapi ada pula di kawasan yang padat penduduk tapi sekolah tidak mencukupi. Bilik darjahnya tak cukup, makmal komputer runtuh kerana masih ada salah urus, rasuah yang perlu disiasat," katanya.


Beliau juga berkata, kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa hari ini kerana ianya diwarisi oleh mereka.


"Perkara ini berlaku dalam era pemerintahan yang lalu. Jadi kerajaan hari ini harus berani menyatakan kesalahan pemimpin yang lalu," katanya.


Beliau menambah, slogan 1Malaysia akan juga menjadi seperti slogan yang terdahuliu jika kerajaan hanya memikirkan slogan pada zahirnya, tanpa berusaha meningkatkan mutunya.


"Media yang hanya mengiklankan 1Malaysia, sehingga salam pun 1Malaysia, bukan mengisi modal insan akan menyebabkan slogan 1Malaysia menerima nasib yang sama dengan slogan yang terdahulu," katanya.


Ustaz Abdul Hadi (gambar) turut menyentuh mengenai media yang semakin tidak bermutu kerana lambakan rancangan hiburan yang melampau, mendahului fungsinya sebagai penyebar ilmu dan maklumat kepada rakyat.


"Media ialah alat mengilmukan rakyat tapi sekarang ini media dipenuhi oleh hiburan yang melampau. Media bukan lagi menjadi alat untuk kita mendapatkan ilmu yang berfaedah sebaliknya hanya menjadi penting ketika adanya pilihan raya kerana media digunakan Umno/BN untuk memenangkan mereka.


“Rakyat sedang diperbodohkan kerajaan melalui media dengan menyiarkan iklan-iklan yang melampau menjadikan rakyat lebih berkhayal di alam impian daripada berilmu dan beramal di alam nyata," katanya.


Menyentuh mengenai sistem kehakiman pula, Beliau berkata, sehingga kini sistem itu di Malaysia belum mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada rakyat.


"Betapa besarnya bidang kehakiman, sehingga Islam meletakkannya dalam perkara fardu kifayah dan menjadi perkara fardu ain pula kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, Islam meletakkan sistem ini terpisah dengan sistem lain," katanya.

MP, Adun PAS tidak terjun dari bahtera


SEBERANG JAYA, 22 Mac - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbangga dengan prestasi semua ahli parlimen (MP) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu seluruh negara kerana tidak gopoh terjun daripada bahtera yang sedang belayar.

Ketika menyampaikan amanat di Dewan Perpustakaan Negeri Sabtu lalu, beliau menambah, berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat, PAS ternyata ke hadapan sebagai sebuah organisasi yang mantap.


"Walaupun bahtera kadang-kadang terumbang ambing namun PAS berjaya menunjukan prestasi yang baik tidak mudah terjerat dengan mainan politik yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Sikap tidak gopoh menghadapi sebarang rintangan, " jelasnya dalam program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.


Oleh itu, beliau menggesa semua organisasi PAS harus mengatur program dengan lebih berkesan dan agresif supaya muncul formula baru yang dapat mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat.


“Di sinilah kekebalan PAS menerusi baiah, usrah dan pertemuan dapat menghindarkan tanggapan buruk serta memperjelaskan kedudukan sebenar sekaligus dapat membersihkan tohmahan musuh.


"Sebenarnya baiah, usroh dan pertemuan dalaman memberi kelebihan pada PAS sendiri. Kita dapat membina kekuatan dalaman dan mengawal tindak tanduk yang boleh mengancam kestabilan politik parti sendiri," tegasnya.


Katanya, sikap sedemikian dapat membentuk jati diri yang kuat di samping bersatu hati dalam sebarang isu dan bersama memantau jika timbul persoalan yang sukar diselesaikan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia walaupun tahu ia datang dari barat.


Melaluinya, kata beliau PAS berpeluang menyampaikan dakwah dan penerangan dengan lebih baik asalkan bijak mengatur isi penyampaian samada di masjid, surau ataupun medan ceramah sempena hari kebesaran Islam dan sebagainya.


Tambahnya, PAS adalah wadah politik yang perlu dipertanggugjawabkan bukan untuk main-main, maka apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan telah mengambil kira semua risiko.


"Kita bukan berperang yang mahu membunuh musuh tapi kita berdemokrasi yang mana perlu mengintai peluang agar terus berjaya menonjolkan PAS ke arah yang lebih tinggi, " tambahnya.

Saturday, March 20, 2010

Tolak pilihan raya PBT, Najib takut hilang kuasa

Tolak pilihan raya PBT, Najib takut hilang kuasa
PETALING JAYA, 9 Mac: Mungkin takut hilang kuasa politik dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak tuntutan dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu untuk mengadakan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yakin bahawa Najib sedar pengaruh politik Umno di negeri-negeri terbabit kian rapuh.

“Najib tidak akan buat pilihan raya dia dua negeri ini kerana dia yakin bahawa mereka akan tetap kalah di kebanyakan kawasan, walaupun mereka selalu kata bahawa mereka sudah mulai kuasai kedua-dua negeri ini,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Keengganan Najib menerima tuntutan Selangor dan Pulau Pinang itu menurut Badrul, sekaligus mencerminkan bahawa kerajaan pimpinan Najib tidak bercita-cita memulihkan sistem demokrasi tanah air.

“Kalau demokrasi dapat menghilangkan kuasa politik mereka, maka rejim ini akan cuba sedaya-upaya tolak apa jua sistem pemilihan (termasuk) pilihan raya kerajaan tempatan,” jelasnya.

Badrul berkata, rakyat sepatutnya dibenarkan memilih ahli majlis PBT mereka sendiri kerana mereka membayar cukai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa maksud ‘politiking’ yang cuba dielak Najib itu bermaksud Umno BN tidak mahu rakyat didedahkan dengan isu royalti minyak, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), misteri pembunuhan Altantuya, masalah ekonomi dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang kerana berani menuntut diadakan pilihan raya kerajaan tempatan atas nama demokrasi.

Cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan itu kembali timbul apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengutuskan sepucuk surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof supaya menguruskan proses pilihan raya ahli majlis bagi mengisi PBT.

Ianya membabitkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

Begitu juga dengan inisiatif Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengutuskan surat tuntutan yang sama kepada SPR.

Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.

Ketiadaan pilihan raya kerajaan tempatan itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.

Pakatan Rakyat sebelum ini meletakkan pilihanraya kerajaan tempatan dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-12 lalu sebagai salah satu perubahan yang akan dibuat.

Demo: PAS ucap tahniah kepada Orang Asli

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Parti Islam Semalaysia mengucap tahniah kepada orang asli yang mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya pada 18 Mac 2010 kerana menuntut hak mereka yang dicabul. Penghormatan yang patut diberikan kepada mereka kerana keberanian dan boleh mengumpulkan seramai dua ribu orang adalah merupakan suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.




Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri. Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.


Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.


Nampaknya orang asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN. Walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini berkata: "Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.".


Kejayaan orang asli yang mengumpulkan hampir 2 ribu orang ke Putrajaya merupakan satu perkembangan yang baik. Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti orang asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalanraya. Selama ini orang asli hanya menjadi pemerhati dari jauh dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan. Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insyaAllah.

Pilihan raya PBT dan royalti: PAS tubuh jawatankuasa khas

KUALA LUMPUR, 18 Mac - PAS telah membentuk dua jawatankuasa khas bagi mengendalikan dua isu besar di negara ini iaitu royalti petroleum dan pilihan raya kerajaan tempatan, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar).

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub telah dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Mobilisasi Rakyat untuk isu tuntutan royalti petroleum Kelantan dan Terengganu.


Seorang lagi naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula dilantik mempengerusikan jawatankuasa khas mengkaji isu pilihan raya kerajaan tempatan yang dituntut oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor.


"Mereka berdua akan dibantu oleh beberapa anggota yang akan bertindak bagi membantu PAS mengendalikan dua isu ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.


Keputusan membentuk dua jawatankuasa itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas, kata Mustafa.


Sekarang ini, sebuah NGO telah dibentuk oleh PAS dan beberapa pihak yang prihatin untuk memperjuangkan royalti minyak untuk kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.


Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) sehingga kini telah menganjurkan pelbagai program untuk menggerakkan rakyat bagi menuntut royalti minyak.


Terkini, mereka sedang merangka program besar-besaran di Terengganu Equistren Resort (TER), Kuala Ibai malam esok. Di majlis itu, Pengasas dan Pengerusi Petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah akan memberikan ucapan dan berdialog dengan rakyat Terengganu.


Usaha sedang digerakkan oleh PAS di Terengganu untuk mempastikan orang ramai menyertai perhimpunan malam esok dan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung 20 Mac ini.


Melalui jawatankuasa yang dipengerusi Salahudin ini, PAS dijangka akan menghimpunkan seramai mungkin penyokong bagi menuntut hak royalti ini.


Dalam pada itu, jawatankuasa yang dipengerusikan Mahfuz dijangka akan menilai keputusan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Pulau Pinang dan Selangor dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan.


Sebelum ini, PAS mengambil sikap akan berhati-hati dengan isu pilihan raya kerajaan tempatan ini walaupun sudah lama didesak oleh sesetengah penyokongnya.


Baru-baru ini, kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada SPR memohon agar badan itu mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu.


Pengerusi SPR, Datuk Abdul Aziz berkata, pihaknya akan membuat kenyataan segera bagi menjawab permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang itu.

Friday, March 19, 2010

Lawatan Dato' PJ ke DUN Seri Serdang Bertemu Rakyat

Syukur Alhamdulillah, program lawatan Dato Hassan Bin Mohd Ali ke Puchong telah berjalan lancar.

DUN Seri Serdang adalah salah satu kerusi DUN yang tewas kepada UMNO dalam PRU 12 yang lalu dengan kekalahan sebanyak 45 undi. Oleh itu kedatangan Dato Hasan ke Puchong menjadi penyuntik semangat untuk teruskan melakukan usaha bertemu dan meyakinkan rakyat bahawa PAS Puchong adalah alternatif terbaik untuk mereka.

Pada lawatan ini Dato Dr Hasan Ali telah bertemu dan bermesra dengan rakyat di masjid-masjid dan surau-surau, pasar malam, dan keluarga miskin. Pada setiap pertemuan dengan rakyat, Dato memaklumkan pentingnya meyakini pemerintahan Pakatan Rakyat. Beliau telah menyampaikan kuliah menjelaskan pentingnya umat Islam benar-benar berfikir, bertindak, berdakwah supaya umat Islam dapat menghasilkan impak yang berkesan dalam masyarakat kearah mewujudkan suasana yang mematuhi ajaran agama.

Dato' juga telah bertemu dengan semua pimpinan PAS Kawasan untuk berdailog meleraikan sebarang bentuk persoalan. Beliau juga memberikan nasihat dalam beberapa aspek-aspek tertentu bagi menghadapi cabaran dan usaha-usaha yang perlu dilaksana, diperluaskan serta diperkukuhkan disemua cawangan bagi menjayakan Misi Menawan DUN Seri Serdang.

Dato' Hassan juga telah menyerahkan bantuan kepada ibu-ibu tunggal dan rakyat termiskin di kawasan Kampung Aman Berkat sambil mendapat penjelasan daripada Ahli Majlis MPSJ Zon 12, Ustaz Nasir Yusof yang juga Timbalan YDP PAS Kawasan Puchong.

Dato' telah melawat Taman Serdang Jaya dimana beliau disambut oleh Ahli Majlis kawasan, Sdr Sufari dari PKR. Rombongan kemudiannya dibawa mengunjungi Pasar Malam Taman Industri Seri Serdang. Kedatangan beliau telah disambut baik dan ceria oleh pengunjung-pengunjung pasar malam dan para peniaga.

Menjelang waktu maghrib rombongan bergerak ke Masjid Riadus Sollehen di Taman Serdang Jaya. Dato Hasan telah mengimamkan solat Maghrib. Setelah selesai solat Dato telah memberi ucapan ringkas. Pada kesempatan itu juga satu tazkirah telah disampaikan oleh Ustaz Sufian, YDP PAS Puchong.

Selepas Isyak, satu ceramah perdana telah diadakan di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya. Para penceramah terdiri dari bekas Ketua Umno bahagian PJS Kapten (B) Dato Zahar Hashim dan Dato Hasan dengan dipengerusikan oleh Saudara Mustain.

Dato' Zahar menjelaskan mengapa beliau meninggalkan UMNO dan PAS menjadi pilihan beliau, telah menarik perhatian para hadirin. Pada malam itu, Dato Hasan telah menerima kemasukan 100 borang keahlian PAS yang mana majoritinya adalah ahli-ahli UMNO di DUN Sri Serdang.



Misi tawan DUN-DUN Umno di Selangor

Misi tawan DUN-DUN Umno di Selangor

Oleh Roslan SMS
Ketua Penerangan PAS Selangor

Dengan kerjasama PAS Kawasan Puchong, PAS Selangor melalui Lajnah Penerangannya telah melancarkan “Misi Tawan DUN Sri Serdang” baru-baru ini. Ini merupakan sebahagian dari operasi untuk menawan saki-baki kerusi Dun yang masih dalam tangan Umno di Selangor.


PAS bertanding 20 kerusi di Selangor dalam PRU lalu, menang 8 dan tewas 12. Adalah diharapkan dengan operasi bersepadu seumpama ini, usaha untuk memantapkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan cara menawan saki-baki kerusi DUN ini akan berjaya.

Di DUN Sri Serdang Jumaat lepas acara padat disusun bagi menzahirkan kesungguhan PAS ini. Bermula dengan solat Jumaat di Masjid Istiqomah, Kg Seri Langkas,Puchong, PAS Kawasan diketuai YDP Kawasan Ustaz Sufian dengan rombongan negeri diketuai Dato Dr Hasan Ali selaku Pesuruhjaya telah bertemu dengan rakyat jelata di sana selepas solat.

Kemudian rombongan bergerak ke Balai JKP MPSJ Zon 12 di Kg Seri Aman, Puchong untuk makan tengahari dan berdailog bersama Jentera PAS Kawasan, diikuti dengan penyerahan bantuan kepada ibu-ibu tunggal dan rakyat termisikin di kawasan berkenaan. Ahli Majlis MPSJ Zon ini adalah Ustaz Nasir Yusof yang juga TImbalan YDP Kawasan. Ucapan ringkas telah diberikan oleh Ustaz Sufian dan Dato Hasan.



Dari Kg Seri Aman rombongan bergerak ke Surau As Syakirin Taman Puchong Utama untuk solat Asar. Jemaah di surau berkenaan telah mempelawa Dato Hasan untuk memberikan tazkirah ringkas selepas Asar.


Selesai tazkirah rombongan bergerak ke Pejabat JKP MPSJ Zon 20 Taman Serdang Jaya. Ketibaan rombongan disambut oleh ahli majlis kawasan, Sdr Sufari dari PKR. Rombongan kemudiannya dibawa mengunjungi Pasar Malam Taman Industri Seri Serdang, salah sebuah pasar malam terbesar di kawasan berkenaan.


Pengunjung-pengunjung pasar malam dan para peniaga telah mengambil kesempatan bersalam-salaman dan bertegur sapa dengan rombongan khasnya Dato Hasan sendiri.

Menjelang waktu maghrib rombongan bergerak ke Masjid Riadus Sollehen di Taman Serdang Jaya. Dato Hasan telah mengimamkan solat maghrib dan memberi ucapan ringkas diikuti tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Sufian. Ternyata jemaah yang hadir begitu gembira dapat bertemu dengan Dato Hasan hari itu.

Sebelah malamnya suatu ceramah perdana telah diadakan di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya. Para penceramah terdiri dari bekas Ketua Umno bahagian PJS Kapten (B) Dato Zahar Hashim dan Dato Hasan sendiri. Pada malam itu Dato Hasan telah menerima hampir 100 borang keahlian PAS yang rata-rata terdiri dari ahli-ahli Umno di DUN Sri Serdang.

Secara keseluruhannya program ini telah berjaya menyuntik semangat kerja yang begitu positif khasnya dari kalangan Jentera PAS Puchong selain menarik minat para pengundi terhadap PAS dan Pakatan Rakyat yang begitu komited untuk menawan kerusi DUN ini yang PAS tewas dengan majority 45 undi.

PAS Kawasan akan terus mengadakan program susulan dengan memberikan penekanan kepada pendaftaran pengundi baru dan keahlian baru. Kita telah berjaya mengenal pasti kawasan-kawasan dalam DUN berkenaan yang perlukan pemerhatian, tetapi dengan prestasi kerajaan Pakatan Rakyat dan komitmen Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Sri Serdang yang digerakkan oleh petugas-petugas PAS dan rakan-rakan PR, tidak mustahil kerusi DUN ini dengan izin Allah swt dapat di tawan dalam PRU akan datang.

26 Mac ini program yang sama akan diadakan di DUN Sg Air Tawar, Sabak Bernam puladiikuti dengan DUN-DUN lain.

Tuesday, March 16, 2010

Memo Bantah Rampas Royalti ke Yang Di Pertuan Agong

Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 17 Mac: Puluhan ribu rakyat Terengganu dan Kelantan dijangka akan berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Mahmud 20 Mac ini bagi mempersembahkan Memorandum Rakyat Menuntut Royalti kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin sempena keberangkatan baginda ke Terengganu.

Ia akan dilaksanakan kira-kira jam 11.45 pagi di lapangan terbang itu, kata pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Bin Yusof dan Mohamad Fauzi Bin Abu Samah dalam satu kenyataan media mereka.

Bagi meraikan rombongan rakyat Kelantan ke Terengganu untuk acara persembahan memorandum, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah bersetuju untuk melepaskan konvoi 200 buah kereta rakyat Kelantan di Bukit Yong, Pasir Puteh, pada jam 7.30 pagi, 20 Mac ini.

Sebelum itu, Gegar akan menganjurkan Dialog dan Solat Hajat Perdana Royalti Rakyat Bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 18 Mac 2010, di Terengganu Ekuestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Majlis akan bermula dengan solat hajat di Masjid Tengku Tengah Zaharah pada jam 7.30 malam dan dialog akan diadakan selepas solat Isyak di Resort TER.

Program ini dikira antara kemuncak bantahan rakyat Terengganu dan Kelantan terhadap rampasan royalti minyak milik mereka oleh kerajaan pusat. Sebelum ini, mereka berhimpun di Stadium Sultan Mohamad Kota Bharu. Kini, program bersama pula diadakan di Terengganu.

Harakahdaily difahamkan, banyak program pada tarikh yang sama yang diaturkan sebelum ini dibatalkan untuk membolehkan semua rakyat Terengganu menyertai majlis ini. Malam tadi, seorang pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus memaklumkan kuliah Maghrib beliau di Masjid Batu Enam pada 18 Mac ini telah dibatalkan untuk membolehkan orang ramai berkumpul di TER pada malam itu.

Berikut adalah kenyataan penuh Gegar mengenainya:

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) ingin sekali menegaskan bahawa matlamat utama GEGAR ialah mendapatkan hak bayaran tunai atau royalti kepada kerajaan dan rakyat negeri berasaskan kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Petroleum menurut Seksyen 4 Akta pada 1975.

Sehingga matlamat ini tercapai, GEGAR akan terus menganjurkan berbagai kempen dan usaha bagi menyemarakkan dan menggerakkan sokongan padu rakyat.

Sehubungan ini, GEGAR telah merangka berberapa siri penerangan. Terdekat, GEGAR akan menganjurkan Dialog dan Solat Hajat Perdana Royalti Rakyat Bersama YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 18 Mac 2010, di Terengganu Ekuestrian Resort (TER), Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Majlis akan bermula dengan solat hajat di Masjid Tengku Tengah Zaharah pada jam 7.30 malam dan dialog akan diadakan selepas solat Isyak di Resort TER.

Dan, dua hari selepas itu, pada 20 Mac, GEGAR akan mempersembahkan Memorandum Rakyat Menuntut Royalti kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin sempena keberangkatn baginda DYMM ke Terengganu. Persembahan ini dijangka pada jam 11.45 pagi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. GEGAR menyeru rakyat Terengganu dan Kelantan hadir ke acara-acara ini.

KONVOI RAKYAT KELANTAN PERSEMBAHKAN MEMORANDUM KEPADA YDPA

Bagi meraikan rombongan rakyat Kelantan ke Terengganu untuk acara persembahan memorandum, YAB Menteri Besar Kelantan telah bersetuju untuk melepaskan konvoi 200 buah kereta di Bukit Yong, Pasir Puteh, pada jam 7.30 pagi, 20 Mac 2010.

Rakyat Kelantan dijemput menyertai konvoi ini dengan mengibarkan bendera negeri Kelantan dan berpakaian baju berwarna merah sempena warna bendera negeri Kelantan.

Kibaran bendera Kelantan ini juga bersempena menyambut Hari Keputeraan DYMM Sultan Kelantan yang akan menjelang dan bagi menzahirkan perasaan kasih dan dekatnya rakyat kepada DYMM al-Sultan. GEGAR menjangkakan lebih 10 000 rakyat akan bersama dalam program ini.

Sementara itu, GEGAR mengingatkan rakyat bahawa pada bulan Mac ini genaplah 10 tahun Negeri Terengganu dinafikan hak royalti oleh Kerajaan Pusat.

GEGAR dengan ini menegaskan lagi bahawa royalti adalah hak rakyat berdasarkan kepada undang-undang, fakta dan sejarah dan kerajaan Persekutuan mesti menghentikan ketidakadilan ini.

Sebaliknya, kezaliman kini telah dilanjutkan pula kepada rakyat dan Negeri Kelantan dengan menafikan bayaran royalti dengan beralasan Akta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969. Walhal, ordinan ini telah dimansuhkan. Akta Ordinan Darurat 1969 ini tiada kena mengena dengan tanggungjawab PETRONAS untuk membayar kepada negeri.

Hanya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang boleh diguna pakai kerana Seksyen 13 Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1979 telah pun memansuhkan Ordinan Darurat 1969 seperti Perkara 13 dalam Akta 216 : Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 1979:

13. (1) Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat, 1969 adalah dengan ini dimansuhkan.

Penafian hak negeri ini membuktikan semangat federalisme yang dimeterai sejak kemerdekaan negara telah dinodai oleh Kerajaan Persekutuan walhal dalam amalan federalisme, negeri mempunyai hak mentadbir urus hal-hal yang di bawah bidang kuasa negeri. Melalui hak dan perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

GEGAR percaya usaha menuntut hak rakyat ini akan terus berkobar bukan sahaja dari GEGAR tetapi dari seluruh rakyat sepertimana sokongan yang telah dibuktikan melalui Himpunan 100,000 Rakyat Menuntut Royalti pada 28 Januari 2010 lalu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Kelantan.

GEGAR akan terus komited dalam perjuangan murni ini bersama rakyat jelata menuntut hak royalti.

“ROYALTI HAK RAKYAT”


Terima kasih.

Dr Abdul Halim Bin Yusof
Mohamad Fauzi Bin Abu Samah
Pengerusi Bersama, Gerakan Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)

PAS kutuk penahanan Mazlan, Felda talian hayat Umno

Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

THURSDAY, 11 MARCH 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk penahanan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman. Penahanan beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub petang semalam merupakan penahanan politik.


PAS melihat bahawa beliau menjadi mangsa atas daya usahanya yang memimpin peneroka Felda dalam Persatuan Anak yang berjuang untuk mempertahankan hak para peneroka. Penahan ini juga dilihat sebagai usaha untuk menakut-nakutkan para peneroka lain agar tidak memberikan kerjasama atau menyertai Anak ini.


Felda-Talian Hayat Umno


Felda sebenarnya menjadi 'anak emas' Presiden Umno yang kini menjadi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Dengan mempunyai lebih dari 113,000 orang peneroka (Tidak termasuk keluarga mereka), Felda merupakan talian hayat terakhir bagi Umno dibeberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada Pilihanraya lalu.


PAS berjaya menembusi Pahang di DUN Semantan dan Berserah, dimana kedua-duanya bukanlah kawasan Felda dan Umno masih boleh menang selesa di Pahang kerana bantuan pengurusan Felda yang menyekat masyarakat Felda menerima informasi yang betul.


Kezaliman Felda


Felda yang dulunya adalah satu projek perladangan untuk menjana ekonomi rakyat dibawah program DEB kini diuruskan oleh Syarikat milik Kerajaan iaitu FELDA Holdings yang memiliki lebih 60 buah anak syarikat yang beroperasi di dalam dan luar negara. Pada tahun 2008 jumlah hasil perniagaannya mencecah jumlah RM15.4 bilion.


Walaupun pendapatan Felda Holding begitu besar, namun peneroka menjadi mangsa bila mana Peneroka tidak dibenarkan menanam semula sendiri kelapa sawit. Mereka diberikan hutang untuk membayar semua kerja ini yang diswastakan kepada anak syarikat Felda Holding iaitu Technoplant.


Selain itu, Felda melakukan pelbagai strategi bagi memaksa peneroka menyerahkan tanah mereka. Felda Plantations menawarkan mereka untuk menjadi pemegang saham dengan kadar bayaran pulangan bulanan adalah RM 1,500-RM 2,100 tanpa perlu bersusah payah bekerja diladang seperti dahulu. Namun mereka yang bersetuju dipaksa membuat pinjaman kos menanam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang ini sekitar RM70,000-RM 90,000 sedangkan mereka yang menolak masih mampu hidup tanpa hutang dengan hasil sekitar RM 4,000-RM 7,000 sebulan.


Itu adalah sebahagian kecil fakta yang menjadi rintihan peneroka Felda. Namun, usaha membongkar lebih banyak penindas semakin cuba dihalang. Umno juga dilihat mempergunakan sentimen Melayu bagi menghasut peneroka menolak Anak, walhal Pengerusinya sanggup ke penjara untuk perjuangkan masa depan mereka.


PAS menyokong perjuangan Anak dibebaskan dan mahu hak peneroka Felda untuk bersuara tidak disekat. Peneroka Felda bukan banduan, mereka adalah rakyat yang merdeka dan berhak untuk bertemu sesiapa yang mereka suka. Jadi tidak ada salahnya jika Mazlan ingin bertemu mereka. Dan sebagai Pengerusi Anak, beliau berhak untuk meninjau ahli-ahlinya disemua kawasan kerana hak untuk berpersatuan dijamin oleh perlembagaan negara ini.

Monday, March 15, 2010

Istisqa: MB Kelantan ikut Sunnah Nabi


HarakahDaily.net Rizal Tahir

KOTA BHARU, 15 Mac: Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Azhar Abdullah berkata, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meneruskan amalan solat sunat yang diteruskan oleh para nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w. sebelum ini.

“Andainya itu ajaran baginda Rasulullah, maka Tuan Guru telah mengikut amalan berkenaan yang telah diajarkan oleh baginda sewaktu musim kemarau berlaku di zamannya,” ujarnya lagi.

Katanya, memandangkan agama itu hidup di negeri Kelantan, menyebabkan pemimpinnya mengamalkan amalan sunnah tersebut termasuk dalam memohon hujan apabila negara ini dilanda panas dan kemarau baru-baru ini.

Tambahnya, setiap ujian yang melanda itu ada hikmahnya yang tersendiri, iaitu sebagai bala terhadap pendosa-pendosa yang dikenali sebagai kifarat Allah.

Sambungnya, selain itu juga ianya sebagai suatu peringatan kepada mereka agar tidak melakukan perkara yang dilarang Allah, kerana bala Allah akan menimpa mereka walaupun bukan melakukan dosa.

Kejadian hujan lebat yang turun pada rakaat pertama pada program solat sunat istisqa Jumaat lalu disifatkan sebagai Allah telah memperkenankan doa-doa setiap hamba, khususnya mereka yang paling hampir denganNya.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohammad Fadzli Hassan, ketika diminta mengulas berhubung solat sunat tersebut memberitahu Allah ingin menunjukkan kebesaran-Nya, apabila hamba memohon, Allah terus memperkenankannya.

“Kita sepatutnya rasa bersyukur kerana mempunyai seorang Menteri Besar sepertinya yang begitu sukar dicari. Saya juga ingin peringatkan pada pihak tertentu yang sering memfitnah serta mengadu-domba Tuan Guru, takutlah dengan doa-doanya,” ujarnya lagi.

Katanya, sejak Tuan Guru dinobatkan sebagai seorang pemimpin Islam berpengaruh dunia, tekanan terhadapnya begitu hebat.

“Jadi saya ingin mengingatkan, berhati-hatilah dengan doa tok guru jangan sekali-kali diambil mudah,” ujarnya lagi.

Jumaat lalu, hujan tiba-tiba turun pada rakaat pertama solat sunat istisqa sewaktu Menteri Besar itu mengimamkan solat tersebut.

Akibatnya ribuan yang hadir untuk solat tersebut termasuk anggota-anggota Exco kerajaan negeri, dan lain-lain pimpinan basah kuyup terkena hujan.

'Orang Muda Geng Kita': Pemuda PAS cuba tangani masalah anak muda

AMPANG, 15 Mac - Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, Pemuda PAS akan berusaha sehingga dapat menjiwai anak-anak muda dan cuba menangani masalah yang mereka hadapi mengikut kemampuan yang ada.

"Ukhuwah dan persahabatan antara pemuda PAS dan anak-anak muda di luar PAS mesti dihidupkan agar kita dapat tolong-menolong ke arah kebaikan" katanya ketika merasmikan kempen 'Orang Muda Geng Kita' peringkat Wilayah Persekutuan dan pertandingan bowling Piala Ketua Pemuda, petang semalam.


Menurut beliau, peranan PAS bukan hanya sekadar berpolitik atau bercakap tentang tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan.


"Peranan PAS adalah menyeluruh merangkumi aspek sosial ekonomi dan politik sesuai dengan sifat Islam yang syumul.


"Sebagai contoh Islam menasihati supaya umatnya beriadah dan menjaga kesihatan, maka kita mengadakan aktiviti sukan seperti bowling pada hari ini," tambahnya.


Dengan slogan 'Orang Muda Geng Kita' Pemuda PAS terus berusaha mendekati anak-anak muda dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan bowling yang telah diadakan di Ampang Point petang semalam.


Pasukan Green Tea menjuarai pertandingan bowling itu dengan 1,975 jatuhan pin mengalahkan pasukan MIG di tempat kedua (1,738) dan Kampung Tasek Tambahan di tempat ketiga (1,732).


Saiful Bahari menjadi pemain terbaik kejohanan dengan 602 jatuhan pin.


Hadiah telah disampaikan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Sany Hamzan.

Friday, March 12, 2010

PENGHARGAAN LAWATAN KERJA DATO' PJ KEPADA JENTERA PARTI

Assalamu 'alaikum,

Alhamdulillah, semalam dengan bantuan dan keizinan Allah Ta'ala program Lawatan Kerja Sehari Dato' PJ ke Puchong dapat dilaksanakan dengan lancar, walaupun di sana masih terdapat perkara yang berlaku di luar perancangan awal dan perlu dimuhasabah dan diperbaiki di masa akan datang.

Bagi pihak kepimpinan PAS Puchong, saya mengambil kesempatan dalam ruang ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan serta terima kasih kepada seluruh jentera parti, dewan-dewan, cawangan-cawangan, Jabatan Amal Puchong, Jawatankuasa Masjid Istiqamah dan Masjid Riadhussolihin, Ahli-ahli Majlis dan JKP, Ketua-ketua kampung dan JKKK, Penyelia DUN dan Pusat Khidmat Masyarakat, orang perseorangan samada yang disebut namanya di sini mahupun tidak, atas segala usaha dan kerjasama sepanjang berlangsungnya program tersebut.

Mudah-mudahan Allah Ta'ala menjadikan semua usaha dan amalan kita itu sebagai bekalan yang bermanfaat apabila kita semua dibawa ke hadapan pengadilan Allah azza wajalla di Akhirat nanti.

Saudara kamu;
YDP PAS PUCHONG

Thursday, March 11, 2010

Lawatan Pesuruhjaya PAS Dato' Dr Hassan Mohammad Ali ke Puchong



Pada 10 Mac 2010, YDP PAS Puchong telah menerima taklimat dari Pengarah Program Lawatan Kerja Dato' Dr Hassan Ali Pesuruhjaya PAS ke Puchong yang telah diadakan di Pejabat JKP Zon 13. Beliau menjelaskan kehadiran Dato' Pesuruhjaya PAS adalah lebih kepada sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor yang mahu meninjau situasi DUN N29.

YDP Puchong Ustaz Soffien Ismail seterusnya menerima taklimat dari Jawatankuasa Pelaksana yang terlibat Ketua-ketua Dewan, Pengerusi-pengerusi Lajnah-lajnah, Ketua Jabatan Amal dan Nisa' khususnya dari Ketua Cawangan dan sahabat dari Seri Serdang dan Serdang Jaya yang banyak terlibat untuk melaksanakan beban tugasan yang berat pada progam ini.

Mesyuarat ini adalah merupakan lanjutan siri-siri mesyuarat sebelum ini bagi memastikan pada kali terakhirnya segala yang telah dirancangkan sebelum ini telah diambil tindakan dan seterusnya memantapkan lagi program lawatan Dato' Dr Hassan Ali ke Puchong.



YDP telah menasihatkan supaya melaksanakan apa yang ditugaskan disamping memahami tujuan lawatan Pesuruhjaya PAS ke Puchong adalah untuk menyemarakkan usaha supaya PAS terus mendekati rakyat terutamanya mereka yang perlukan bantuan dan kesempatan ini juga adalah untuk beliau bertemu dan bermesra dengan rakyat.



Taklimat itu meliputi aspek atucara lawatan, program ceramah,lojistik, publisiti dan keselamatan. Semua yang terlibat telah memberi pandangan masing-masing dan ianya memuaskan dan semoga apa yang telah dirancangkan pada hari lawatan berjalan lancar.

Tuesday, March 9, 2010

Pakatan urus Selangor cara terbaik



SHAH ALAM, 9 Mac: Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berjaya mengurus sumber kewangan negeri dengan berkesan malah menggunakan hasil itu pula untuk kesejahteraan rakyatnya.

Banyak kejayaan dicapai termasuk peningkatan jumlah pelaburan masuk sepanjang 2009 kepada RM6.76 bilion dan mengutip RM50 juta daripada hutang Talam Corporation sebanyak RM392 juta.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam tadi ketika menyampaikan syarahan perdana sempena perayaan dua tahun kerajaan baharu Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Turut berucap dalam majlis yang adiadakan di Stadium Malawati dekat sini adalah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Exco Teresa Kok, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dun Selangor, Azmin Ali dan bekas timbalan menteri, Datuk Kalakau Untul yang menyertai PKR, baru-baru ini.



Tan Sri Khalid juga berkata, daripada hasil RM50 juta yang berjaya dikutip itu telah digunakan pula untuk membiayai program tabung mikro kredit bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Selangor.

“Jumlah hutang yang sebesar itu dilupa atau digelapkan tapi kita dapat cungkil,” tegasnya dengan mendapat sambutan ribuan orang ramai yang memenuhi ruang di stadium tertutup itu.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa berkaitan dengan proses mengadakan tabung itu dipengerusikan oleh Datuk Dr Hasan dengan dipantau oleh Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid sendiri.

Tabung bantuan kepada mereka yang berhak itu berkonsepkan kredit secara Islam yang dikenali sebagai al-Qardhul-Hasan, jelasnya lagi.

Menteri besar seterusnya berkata, sepanjang dua tahun PR memerintah Selangor, kerajaan berjaya memperkenalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kesemua tujuh pendekatannya mengembalikan hasil sumber negeri kepada rakyat.

Untuk rekod, ketujuh perkara itu meliputi pemberian 20 meter pertama air secara percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Mesra Usia Emas, sumbangan pelajar ke universiti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Pusat Khidmat Krisis Sehenti dan Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

Tuesday, March 2, 2010

PAS MAHU SPA UTAMAKAN KAKITANGAN KONTRAK, KERAJAAN BUKAN ALAT UMNO

KENYATAAN RASMI
PAS MAHU SPA UTAMAKAN KAKITANGAN KONTRAK, KERAJAAN BUKAN ALAT UMNO

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan agar pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) memberi keutamaan kepada kakitangan kontrak bagi mengisi 50 ribu jawatan baru bagi tahun ini seperti yang diumumkan oleh Setiausahanya, Datuk Lamien Sawiyo semalam.

Sebelum ini PAS telah menerima banyak maklumbalas berhubung penamatan perkhidmatan kakitangan kontrak yang mula berkuatkuasa bulan ini. Dianggarkan lebih 60 ribu kakitangan kontrak akan diberhentikan bagi menyelaraskan dasar berjimat cermat kerajaan.

PAS melihat bahawa sebahagian besar kakitangan ini mempunyai kemampuan dan pengalaman yang melayakan mereka untuk meneruskan perkhidmatan sebagai kakitangan tetap dan ini adalah tanggungjawab SPA untuk memastikan negara tidak mengalami begitu banyak kerugian serta dapat membantu mereka.

Dalam masa yang sama, PAS berharap agar Kerajaan dapat meningkatkan intergriti kakitangannya bagi mengelakkan gejala rasuah yang dilakukan oleh pegawai SPRM baru-baru ini menular ke jabatan lain. PAS juga menyeru agar Ketua Setiausaha Negara meningkatkan kredibiliti organisasi kerajaan disemua peringkat dan tidak membiarkan jentera Kerajaan menjadi alat tunggangan Umno-BN seperti yang berlaku dalam kes siasatan terhadap 37 orang guru di Pulau Pinang akhir bulan lepas dan juga beberapa siri Pilihanraya Kecil tahun lepas.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

UMNO SABOTAJ EKONOMI KELANTAN DENGAN JPP DAN WANG IHSAN

KENYATAAN RASMI
UMNO SABOTAJ EKONOMI KELANTAN DENGAN JPP DAN WANG IHSAN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan karenah Umno yang tidak pernah ikhlas membantu Kelantan. Kelantan yang diperintah PAS selama dua dekad, tidak pernah sunyi dengan gangguan dan sabotaj dari Umno yang masih menguasai Kerajaan Persekutuan atas tiket Barisan Nasional.

Tindakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang mengesa agar Kelantan tidak berterusan 'eksport' rakyatnya dan mendakwa bahawa kedudukan perniagaan di negeri itu sebagai tidak bermaya adalah salah satu contoh persepsi buruk yang cuba ditimbulkan oleh Umno. Kedudukan ekonomi Kelantan masih baik dan peluang perniagaan sentiasa ada di Kelantan.

Isu Kelantan 'eksport' rakyatnya, tidak sepatutnya menjadi isu kerana negeri lain seperti Johor, Terengganu, Pahang, dan Kedah juga adalah antara negeri yang aktif mengeksport rakyatnya. Negeri Johor sebelum ini dilaporan mengeksport lebih dari 100 ribu rakyatnya untuk bekerja di Singapura iaitu negara jiran Malaysia. Ini berbeza dengan Kelantan yang kebanyakkan rakyatnya bekerja di Lembah Klang dan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia secara umumnya. Sebelum ini, perkara sebegini tidak pernah menjadi isu, kenapa sekarang beliau membangkitkannya.

Rakyat Kelantan kini berada di hampir semua negeri dalam pelbagai sektor termasuklah yang bekerja dengan Kerajaan. Dalam sektor Kerajaan sendiri ramai tenaga pakar kalangan anak-anak Kelantan yang pernah meminta ditukar ke Kelantan untuk membantu negeri itu tetapi mereka diletakan di Putrajaya, yang tidak sokong Kerajaan dihantar ke pedalaman di Sabah Sarawak.

Menyentuh tentang soal kedudukan perniagaan di Kelantan yang tidak bermaya serta kurangnya pelancong asing ke negeri berkenaan, fenomena ini bukan sahaja dirasai Kelantan pada waktu ini. Negeri-negeri lain juga sebenarnya mengalami masalah yang sama berikutan kelembapan ekonomi negara keseluruhannya.

PAS juga kesal kerana selama ini banyak peruntukan dari kerajaan Persekutuan tidak sampai sepenuhnya ke tangan pentadbiran Kerajaan Negeri. Kerajaan Barisan Nasional mewujudkan tol yang bernama "Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)" dimana sebahagian peruntukan Pusat kepada Kelantan diserahkan kepada Jabatan ini dan dana yang dimasukan dalam akaun JPP tidak direkodkan oleh Kerajaan Negeri sebagai hasil negeri. Ini berbeza dengan negeri yang diperintah BN, dimana mereka mendapat jumlah penuh peruntukan dari Pusat.

Dalam kes wang ehsan, Kerajaan Persekutuan juga mengunakan prosedur kewangan yang sama dimana RM 20 juta akan diserahkan kepada JPP Kelantan. Apakah ini bukan satu tindakan yang culas.

Kelantan secara tegasnya menolak wang ehsan kerana yakin mereka berhak menerima wang royalti minyak bernilai lebih RM 2 Bilion. Hak ini juga dinafikan sedangkan wang royalti adalah hasil negeri yang sewajarnya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan setelah membenarkan Petronas menjalankan carigali minyak di perairan Kelantan. PAS yakin, jika Kelantan menerima wang royalti dan JPP dibubarkan, maka kewangan negeri tidak akan mengalami defisit, malah pembangunan yang lebih rancak dapat diadakan.

Kenapa Umno Kelantan berpakat untuk menafikan hak rakyat ini. Jelas Umno berniat untuk sabotaj ekonomi negeri dimana hasil negeri yang sepatutnya diterima tidak diberikan dan Awang Adek sibuk mengatakan bahawa ekonomi dan perniagaan Kelantan tidak bermaya.

Kelantan sentiasa dimomokan dengan imej negatif hingga menyebabkan pelabur dan pelancong merasa kurang yakin. Kerajaan Persekutuan harus berhenti menganaktirikan Kelantan dan menerima hakikat bahawa negeri ini selesa dibawah pentadbiran PAS sejak dua dekad yang lalu. PAS akan terus memastikan Kelantan dapat dimajukan walaupun Umno-BN tidak akan berhenti mensabotaj negeri ini.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Rakyat Selangor boleh sewa rumah PPR tanpa deposit

Rakyat Selangor boleh sewa rumah PPR tanpa deposit

SHAH ALAM, 1 Mac: Rakyat negeri Selangor yang berpendapatan rendah bakal menikmati kemudahan menyewa rumah di Projek Perumahan Rakyat atau PPR di negeri itu tanpa perlu membayar deposit.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam satu kenyataan memberitahu mesyuarat exco kerajaan negeri pada 24 Februari lalu telah memutuskan skim itu dan beberapa keringanan lain juga diberikan kepada penyewa.

"Sebelum ini deposit sehingga RM1050 perlu dibayar kepada mereka yang hendak menyewa rumah PPR.

"Deposit ini akan dikurangkan dan boleh dibayar secara ansuran," katanya.

Menurut beliau lagi, buat permulaannya skim baru itu adalah terbuka kepada mereka yang hendak menyewa di PPR Taman Putra Permai, Lembah Subang dan berkuatkuasa serta merta.

"Skim ini adalah terbuka kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Kelayakannya adalah sama seperti mereka yang ingin memohon pengurangan sewa rumah PPR dari RM250 kepada RM124," katanya lagi.

Selain dari itu, beliau memaklumkan permohonan untuk menyewa rumah PPR dan permohonan untuk mengurangkan kadar membayar sewa RM124 boleh dibuat secara serentak dan bukan seperti sebelum ini di mana penyewa perlu memasuki rumah terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat permohonan pengurangan sewa.

Buat masa ini terdapat 5436 unit rumah PPR di empat kawasan iaitu di di Serendah, Kota Damansara, Lembah Subang dan Kg. Baru Hicom.

Dari jumlah itu, sebanyak 1717 unit masih kosong.

"Kerajaan Negeri berharap kelonggaran ini akan dapat memudahkan mereka yang memerlukan rumah kediaman mendapatkannya dengan segera.

"Ianya selari dengan hasrat “Kediaman Untuk Semua”, katanya.

Kerajaan selangor jelasnya sentiasa prihatin kepada masalah yang dihadapi oleh rakyat akan berusaha untuk membantu dan mengurangkan beban mereka.

Sebelum ini Selangor telah menurunkan sewa PPR dari RM250 yang dinaikkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada bulan Jun 2007 kepada RM124 bagi mereka yang layak.

Ahli Parlimen PAS sepakat terus laksana amanah rakyat


KUALA LUMPUR, 2 Mac - Ahli-ahli Parlimen PAS dengan tegasnya menyatakan sepakat untuk terus melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Satu kenyataan Sekretariat MP PAS yang dikeluarkan di sini, hari ini menyatakan mereka sedar bahawa rakyat mengundi mereka kerana mahu kepada perubahan dari suasana ketidakadilan, kezaliman, kemiskinan dan ketidaksamarataan hak-hak asasi kepada satu kerajaan berkebajikan dan bersih yang berasaskan prinsip-prinsip agama dan moral.


Oleh itu, mereka kesal dengan tindakan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang telah memilih untuk meninggalkan prinsip-prinsip murni perjuangan itu.


Mereka juga kekal yakin dengan perjuangan dan kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat dan akan meningkatkan lagi usaha-usaha di kalangan masyarakat dan di Dewan Rakyat yang akan mula bersidang pada 15 Mac ini.


Mereka turut menyeru kepada masyarakat untuk bersama-sama mereka menentang cadangan-cadangan baru kerajaan BN menaikkan harga petrol dan barang-barang keperluan lain dan memperkenalkan cukai baru seperti GST.


“Kami juga ingin menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar kenyataan itu.


Ahli Dewan Rakyat PAS terdiri daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chepa), Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Puan Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).


Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (Baling), Dr Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu), Mohd Abdul Wahid Endut (Kuala Terengganu), Ustaz Muhammad Husin (Pasir Puteh), Khalid Samad (Shah Alam), Che Uda Che Nik (Sik), Ustaz Firdaus Jaafar (Jerai), Ustaz Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar), Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pendang).


Manakala ahli Dewan Negara terdiri daripada Senator Muhammad Yusof Husin (Kedah), Senator Ahmad Rosli Ibrahim (Kelantan), Senator Mumtaz Md Nawi (Kelantan)
SETIAP SAAT PERUBAHAN HENDAKLAH UNTUK MEMENANGKAN ISLAM
Setiap saat umat Islam hendaklah melakukan perubahan pada dirinya. Firman Allah;"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia".[Ar Ra'd:11]
Oleh itu, jalan yang selamat adalah kembali berpegang pada Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w semoga umat Islam Malaysia sentiasa mendapat perlindungan Allah Taala.
______Dari Lajnah Penerangan Dan Dakwah_____