/ /PAS PUCHONG /

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong


Kereta
[1007]Terbuka:Berbayar
Darussyifa
[1008]Ahli Darussyifa':SenaraiNama

Friday, February 26, 2010

Perutusan sempena Hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w

Tegak Sunnah Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.


Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?


Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (As-Saba’: 28)


Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.


Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.


Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.


Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.


Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.


DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG,
PRESIDEN PAS

Tuesday, February 23, 2010

Nik Aziz: Keakraban PAS-bukan Islam tidak direka kerana politik





BACHOK, Feb 22 - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) memberitahu hubungan kerajaan PAS Kelantan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama negeri ini bukan sesuatu yang dibuat-buat berdasarkan kepentingan politik sebagaimana diandaikan sesetengah pihak.

Keluhuran itu kata Mursyidul Am PAS itu, sebaliknya adalah anugerah Allah kepada orang yang sentiasa beristiqamah mendokong kesucian agamanya dalam apa jua aspek kehidupan berasaskan al-Quran dan hadis.


“Sejak 20 tahun PAS memerintah, seluruh rakyat Kelantan merasai keharmonian hubungan kaum yang mana tidak pernah berlaku sebarang pergolakan, pergeseran atau pertelingkahan sehingga menimbulkan perasaan dendam antara kaum.


“Bahkan sebelum pada itu lagi, ketika peristiwa 13 Mei, terjadi pertumpahan darah, tapi Kelantan sikit pun tidak berlaku sedemikian.


“Dan contoh terdekat, ketika negeri-negeri lain baru-baru ini kalut ribut bertelagah sampai berlakunya perbuatan ganas seperti membakar gereja tapi di Kelantan, aman,” katanya sewaktu meraikan sambutan Tahun Baru Cina PAS kawasan Bachok.


Majlis tersebut diadakan di pekarangan rumah bekas penghulu Tanpa Mukim Dun Jelawat mendiang Koh Soh Cheng di Jelawat dekat sini, petang ini.


Hadir sama Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok.


Nik Aziz berkata tuduhan pihak tertentu kononnya tindakan PAS mengambil langkah berbaik-baik dengan kaum lain semata-mata bagi menjaga kepentingan politik di samping untuk menarik sokongan bukan Melayu adalah tuduhan orang yang dengki dengan kejayaan PAS yang mampu dijadikan model dalam konsep hubungan kaum.


Sementara itu Nasharudin memberitahu bahawa dalam konteks Islam masyarakat bukan Islam adalah saudara seinsan dengan masyarakat Islam.


“Ini adalah hakikat ajaran nabi Muhammad SAW.


“Berdasarkan satu riwayat, sekumpulan orang sedang mengusung jenazah melintasi hadapan nabi, tiba-tiba nabi bangun menghormatinya. Lalu sahabat tanya baginda kenapa bangun sedangkan jenazah yang diusung itu adalah mayat orang Yahudi.


“Maka jawab Rasulullah semua penganut agama di atas muka bumi ini dituntut agar saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.


“Demikian betapa luhurnya sifat Rasulullah dalam menjaga kepentingan atau kehormatan lain-lain agama,” tambah beliau.

Umno tak anjur perarakan, kenapa Pulau Pinang Di Pertikai?

KENYATAAN MEDIA: Umno tak anjur perarakan, kenapa Pulau Pinang Di Pertikai?

Pasti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Umno memberikan jawapan kenapa mereka membuat bantahan terhadap isu Perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang sedangkan 3 negeri yang diperintah Umno mengumumkan tidak mengadakan sebarang perarakan.

Bergegar tujuh petala langit bila mendengar Umno begitu nekad dan bersemangat memperjuangan perarakan maulidur Rasul yang umum mengetahui bahawa itu bukanlah sebahagian amalan yang dituntut atau diwajibkan oleh Islam. Kerajaan Pulau Pinang dituduh sebagai cuba menindas orang Melayu dan cuba menafikan hak mereka untuk berarak. Umno menuduh Kerajaan Pakatan cuba melenyapkan syiar Islam dan macam-macam lagi pertuduhan yang bersifat rasis dan melampau.


Akhirnya, kejahilan Umno ditampar oleh jabatan agama di 3 negeri yang mereka perintah sendiri. Jabatan Agama Johor, Pahang dan Perlis memaklumkan minggu lepas kepada wartawan Malaysiakini bahawa mereka tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, kerana ia tidak dituntut oleh Islam.


Mujurlah masih ada Jabatan Agama yang berani untuk menempelak kejahilan Umno ini. Jika tidak Umno akan terus jadi kaduk naik junjung dan menatang penuh kejahilan mereka atas dasar politik dendam kesumat.


Seluruh negara tahu, Umno kini bagai cacing kepanasan selepas kalah PRU-12. Setiap bulan mereka mencari alasan untuk adakan demontrasi seluruh negara. Setiap hari mereka memikir untuk cari isu untuk menghentam Pakatan. Mereka cuba jadi juara rakyat, cuba jadi juara Islam. Setelah modal 'Melayu' tidak laku, mereka mereka cuba jual 'Islam' untuk kepentingan politik mereka. Tapi rakyat tidak bodoh, Umnolah yang jahil.


Kepada seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama membaca surah yasin supaya Allah memberi hidayah kepada ahli umno sempena meraikan Maulidur Rasul. Rasulullah sepanjang hidupnya tidak pernah berhenti berdakwah, hatta kepada orang munafik dan Fasiq.


PAS yakin, ramai ahli Umno yang semakin cerdik hari ini dan mahu memilih Islam sebagai jalan perjuangan. Mungkin kerana takut hilang kesenangan dunia mereka masih ragu-ragu untuk tinggalkan Umno. Kita bacalah Yasin dan doakan semoga mereka diberikan hidayah untuk tinggalkan Umno dan menyertai perjuangan Islam yang sebenarnya. Tinggalkan perjuangan perkauman yang sempit kerana akhir hidup ini hanyalah liang lahad yang dinisankan dengan tulisan jawi dengan malaikat sedia menanti.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Umno bercelaru antara Perarakan Maulid dan bertafakur depan Tugu Negara



Umno semakin bercelaru antara perkara usul dan furuk dalam agama. Isu perarakan maulid seolah-olah kalau tidak buat boleh menjejaskan aqidah. Pada fahamann mereka kalau tidak ada perarakan semacam mengerjakan haji tidak ke Arafah. Sedangkan perarakan maulid hanyalah salah satu program di dalam upacara sambutan maulid nabi SAW, yang dilakukan setengah tempat di negara ini. Tetapi isu ini menjadi panas kononnya kerajaan Pulau Pinang membatalkan program perarakan maulid pada 26hb Feb 2010.

Walaupun program perarakan tetap dijalankan, pemimpin umno bising dengan menuduh kerajaan di bawah pimpinan Lim Guan Eng menghina agama dan tidak menghormati hari kebesaran nabi Muhammad SAW.


Lainlah ceritanya kalau kerajaan Pulau Pinang tidak mengistiharkan 12 Rabiulawal bukan cuti umum. Tetapi pemimpin umno akan mengintai apa sahaja isu yang berlaku di Pulau Pinang untuk dieksploitasi supaya meniupkan kemarahan orang-orang melayu kepada Pakataan Rakyat.


Fokus mereka bukan untuk ambil Pulau Pinang tetapi ialah untuk menanamkan perasaan benci di kalangan pengundi melayu di negeri-negeri lain. Kerana umno sedar dengan demografi dan kerusi di Pulau Pinang sukar untuk mereka mengambil balik negeri tersebut, walaupun umno sapu bersih di kawasan melayu


Dengan timbulnya isu perarakan maulid Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak golongan yang belajar agama dalam Umno untuk tampil memberikan hujah dan hukum berhubung isu perarakan maulidur Rasul dan bertafakur dihadapan tugu negara.


Pada masa ini Umno sengaja menimbulkan rasa kurang senang masyarakat Islam di negara ini dengan memainkan isu perarakan maulidur Rasul di Pulau Pinang, tanpa memberikan kefahaman kepada ahli mereka tentang hukum syiar berkenaan diadakan.


Umno menjadikannya bahan politik dan menjaja di seluruh negara seolah-olah perarakan berkenaan adalah sesuatu yang wajib dan menjadi sunnah Rasulullah. Ramai kalangan ahli Umno yang tidak tahu sejarah sambutan Maulidur Rasul ini.


Di antara fakta sejarah mencatatkan, bahawa sambutan ini mula diadakan secara rasmi oleh ipar kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi, iaitu Muzaffaruddin Gekburi, yang menjadi penguasa daerah di Irbil, Syria Utara.


Sambutannya dibuat secara sederhana dengan majlis doa dan majlis selawat.
Kemudian Sultan Salahuddin mengangkat sambutan ini keseluruh pelusuk Kerajaannya dengan niat untuk menyemarakkan syiar agama dan bukannya perayaan yang bersifat ritual yang boleh jatuh kepada hukum bida’ah dhalah.


Sultan Salahuddin juga mengunakan perayaan berkenaan untuk membangkitan rasa cinta kepada perjuangan Rasulullah dan memberikan semangat kepada tentera Islam yang dipimpinnya untuk menghadapi perang Salib ketika itu.


Sambutan pertama diadakan oleh Sultan Salahuddin pada 1184 (580 H) dengan mengadakan pertandingan sayembara puisi khas untuk Rasulullah. Pertandingan ini dimenangi oleh Syekh Ja’far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim yang menulis puisi panjang bertajuk ‘Iqd Al-Jawahir (ertinya kalung permata). Puisi inilah yang dibukukan dan dipanggil oleh orang-orang Melayu sebagai buku Barzanji yang diambil sempena nama penulisnya.


Adapun perarakan yang dibuat Sultan lebih kepada perarakan tenteranya yang beramai-ramai ke medan perang sehingga sebahagiannya menemui syahid, sedang yang sebahagian lagi yang masih hidup berjaya menakluki Baitulmaqdis pada 1187 (583 H).


Akhirnya sambutan ini telah menjadi tradisi dibeberapa negara termasuk di Malaysia. Walaubagaimana pun sambutannya bukanlah perkara yang diwajibkan dalam Islam, begitu juga jika mahu mengadakan perarakan kerana Islam lebih menuntut umatnya mengamalkan sunnah Rasulullah dan menjunjung Islam sebagai panduan hidup.


Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini pernah mengharamkan majlis sambutan dan perarakan Maulidur Rasul yang didalamnya wujud percampuran antara lelaki dan perempuan. Walaubagaimana pun Fatwa itu dilanggar dan hingga kini masih lagi berlaku percampuran lelaki dan perempuan terutamanya dalam sambutan diperingkat Kebangsaan dan Negeri.


PAS bertegas agar umat Islam menunaikan perkara wajib iaitu mengikuti Sunnah Rasulullah dan mengangkat Al-Quran sebagai Perlembagaan hidup berbanding melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah.
Kita lihat sahaja, setiap kali ada sambutan dan perarakan, wang rakyat akan dihabiskan untuk menempah baju baru kepada peserta perarakan dan mengundang penyanyi-penyanyi untuk berhibur sedangkan tidak semua rakyat dapat hadir ke dalam majlis itu.


Sebaiknya wang berkenaan digunakan untuk membantu fakir miskin yang masih wujud dinegara ini. Tidak mengapa jika perarakan tidak diadakan kerana boleh digantikan dengan program lain seperti kuliah, berzanji dan majlis-majlis lain yang melibatkan rakyat kebanyakkan diseluruh pelusuk Masjid dan surau dinegara ini.


PAS pelik kenapa Umno begitu bersungguh memainkan isu ini sedangkan dalam masa yang sama mereka menutup mata dan teliga melihat Presiden mereka setiap tahun bertafakur di hadapan tugu negara yang sebelum ini difatwakan sebagai perbuatan syirik oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.


Ke mana dokumen keputusan Majlis Fatwa itu disimpan. Kenapa ahli-ahli Umno tidak bangkit berdemo atau mengadakan bantahan bila pemimpin umno bertafakur di hadapan tugu negara setiap tahun.


PAS menghargai jasa anggota Keselamatan negara, dan mahu jasa mereka itu dikenang dengan Kerajaan memperbanyakan bantuan kepada waris-waris mereka dan bukannya menghabiskan duit membeli bunga untuk dikalungkan pada patung tugu yang tidak bernyawa itu.


PAS menyeru kepada ahli Umno supaya mendalami Islam dan bukannya mengambil Islam mengikut keperluan mereka dan membuang sebahagian hukum Islam untuk kepentingan politik mereka.


Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Maulidur Rasul: Rendahnya mentaliti Umno

Apabila Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Pulau Pinang batalkan perarakan sempena Maulidul Rasul saw. tanpa usul periksa Timbalan Perdana Menteri terus buat kenyataan menyanggah kerajaan Pulau Pinang, Pak Lah Badawi yang sudah tidak ada kepentingan politik pun tumpang komen sekali. Yang sangat dikesalkan, Mufti Perak Harussani juga komen sama tanpa tahu hujung pangkal.

Kalau pemimpin UMNO buat kenyataan seumpama itu saya tidak sangat hairan, sebab mereka sentiasa memutarkan isu untuk kepentingan politik mereka, perkara yang tidak wujud pun direka supaya wujud. Tujuannya nak bagi orang Islam dan orang Melayu marah dan sensitif terhadap isu ini. Lim Guan Eng akan dilabel anti Melayu dan anti Islam. Inilah kerja UMNO, mereka porak perandakan Selangor, sebelum tu Perak sampai tumbang, Kedah juga cuba diusiknya, sekarang giliran Pulau Pinang pula. Apa punya UMNO, dengki, jahat, busuh hati, celaka.

Persoalannya buat ke tak buat perarakan, itu hak kerajaan negeri, tak timbul soal batal ke tak batal. Penganjur sambutan Maulidur Rasul ialah Kerajaan Negeri, terpulanglah pada kerajaan nak buat perarakan ataupun tidak sempena sambutan maulid nabi peringkat negeri. Yang penting sambutan diadakan, difahamkan kerajaan negeri menganjurkan selama tiga hari tiga malam. Perak sejak lepas-lepas sehari sahaja iaitu perhimpunan sebelah pagi sahaja, kalau ada malam pun forum atau ceramah.

Di Pulau Pinang, kerajaan PR yang dipimpin DAP boleh anjur sehingga tiga hari tiga malam. Semua dipenuhi dengan program-program islamik yang ada beberapa acara Ketua Menterinya hadir sama. Tahun lepas, Lim Guan Eng turut serta dalam perarakan dan berada di atas pentas. KM BN yang lepas-lepas ada ke turut serta ?

Lain lah kalau sebelum ini, kerajaan tak pernah buat perarakan, kemudian ada permohonan dari Ngo Islam atau UMNO nak berarak sempena sambutan maulid nabi, tetapi permohonan ditolak oleh Kerajaan Negeri, barulah UMNO nak melalak ke, demontrasi ke, atau jajalah merata kampung seluruh negara konon Lim Guang Eng anti Islam dan sebagainya, barulah ada munasabahnya.

Ini, kerajaan Negeri tak katapun nak batal, tiba-tiba Utusan melapor batal, Timbalan PM boleh melalak tak tentu pasal, apa punya mentaliti pemimpin UMNO macam ini. Pak Lah pun serupa je. Perarakan maulid nabi dulu-dulu memang menjadi acara tahunan sambutan maulid nabi, entah tahun bila saya pun tak ingat, perarakan tidak lagi diadakan, ada ke UMNO sensitif dengan pembatalan ini, PAS pun kisah dengan pembatalan perarakan ini.

PAS tak nampak pentingnya perarakan, buat pun tak kisah, tak buat pun tak kisah, pada PAS yang penting penghayatan sunnah junjungan besar Rasulullah saw. Perarakan maulid nabi dibuatnya, tapi aurat tak ditutupnya, hukum hudud ditolaknya, solat berjamaah ditinggalkannya, solatpun tidak kadang tu, dan macam-macam lagi yang mereka tak buat amal Islam pun. Bila perarakan kononnya batal, bukan main marah Muhyiddin, tapi apa usaha beliau untuk menghalang sambutan hari kekasih, orang Melayu ramai terlibat pulak tu.

Mufti Perak, satu-satunya mufti yang disegani kerana tegas terhadap isu-isu umat Islam pun sama rupanya, melatah buat kenyataan tanpa usul periksa. Di Perak, apabila perarakan maulid rasul ditiadakan sejak zaman Ramli Ngah Talib, ada ke UMNO dan mufti Perak buat kenyataan menyanggah kerajaan negeri. Ada ke umat Islam dan orang Melayu terasa tersinggung ketika itu ?

Sejak tulah, perarakan tidak pernah dibuat di Perak, PAS pun tak kisah, sebab itu, bila PR ambil alih, kita pun tak buat perarakan sama. Tetapi sambutannya cukup luar biasa, tak cukup tempat untuk ramai. Yang lepas-lepas, kerusi tak penuh pun. Ini kata pegawai-pegawai kerajaan yang setiap tahun terlibat dengan maulid nabi.

Lim Guan Eng yang dilabel anti Melayu dan Islam oleh UMNO memberi peruntukan yang agak besar untuk Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, zaman BN ini lebih kurang 12 juta setahun, Guan Eng umum 24.3 juta untuk tahun 2010. Kontraktor Bumiputra yang dapat projek dan tender kerajaan adalah 70 % berbanding kontarktor bukan bumi.

Menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idola dan suri teladan dalam amalan keadilan di Pulau Pinang. Pemimpin UMNO siapa para sahabat dan ulama yang jadi suri teladan dalam amalan pentadbiran di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka.


Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Datuk Seri Nizar.

Kehakiman lemah punca negara luar campur tangan - Presiden PAS


KUALA TERENGGANU, 22 Feb - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kelemahan proses kehakiman dan perundangan negara ini telah menyebabkan pihak luar campur tangan dan memprotes sistem kehakiman negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa bercakap kepada media selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Kawasan Kuala Terengganu (Pemikat) 2010 di sini, semalam berkata, situasi itu mesti diperbetulkan supaya proses keadilan wujud.


Begitupun, beliau bukan ‘menyelar’ tetapi tidak bersetuju terhadap campur tangan asing dalam sebuah negara berdaulat di atas kaedah secara umum, iaitu atas prinsip hubungan luar dan diplomasi antarabangsa.


Ketika ditanya wartawan "Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?" Abdul Hadi menjawab begini:-


"Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat."


Berikut ialah jawapan penuh beliau kepada soalan yang dikemukakan pihak media.


Wartawan: Dalam isu campur tangan asing, apakah pandangan PAS. Sebab, ada pihak yang membantah campur tangan tersebut?


Abdul Hadi: Pertama, PAS sebagai sebuah parti Islam dari segi dalaman PAS mahu proses kehakiman berlaku dengan adil dan baik, khususnya mengikut konsep Islam itu sendiri yang perlu diberi hak kepada orang yang dituduh, hakim dan yang menuduh. Semua pihak mempunyai perhitungan dosa dan pahala, bukan sahaja undang-undang yang lahir undang-undang Barat. Sekiranya, masalah ini tidak selesai di atas dunia ini dengan betul, Tuhan akan selesai juga di hari kiamat. Saya beri peringatan kepada semua pihaklah. Sebab itulah, dalam Islam ini ada undang-undang hudud yang termasuk di dalamnya undang-undang qazaf, dengan saksi-saksi yang betul, yang cukup jumlahnya empat orang saksi, yang budiman, yang beriman dan berakhlak. Hakim pula mestilah orang yang beriman dan bertaqwa.


Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia mahu negara kita sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlu kepada campur tangan asing, apa lagi dari negara-negara barat, negara yang bukan Islam. Campur tangan ini mungkin kerana ada tempat-tempat yang boleh ditembusi oleh campur tangan asing. Saya merasakan sekiranya kita berlaku dengan adil mengikut konsep yang tepat, ada kehebatan kita dan pihak asing tidak berani hendak campur. Ini mungkin kerana ada kelemahan-kelemahan yang memberi ruang kepada pihak asing hendak campur tangan. Dengan sebab itu, kita perlu memperhebatkan kehakiman kita sendiri dan sistem kita sendiri supaya disegani oleh semua pihak termasuk pihak asing.


Jadi, pada pandangan Datuk Seri, campur tangan asing itu tidak bolehlah?


Campur tangan tidak boleh tetapi dari dalaman sendiri mesti perbaiki, mesti ada kehebatan. Ini kerana, apa yang berlaku hari ini timbul krisis ‘keyakinan’ terhadap sistem kehakiman. Dengan sebab itu, selesaikan krisis keyakinan ini dahulu. Barulah kita ada kehebatan. Jika tidak, hilang kehebatan kita.


Jadi, PAS sendiri melihat sistem kehakiman kita tidak berjalan lancar dan dipengaruhi?


Sistem kehakiman kita masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’. Pemisahan kuasa itu tidak berlaku, sudah jadi bercelaru dan ini yang menyebabkan hilang keyakinan. Dengan sebab itu, kita mahu pemisahan kuasa itu berlaku dan barulah kehakiman itu ada kewibawaan dan ada kehebatan.


Maksud Dauk Seri, ada campur tangan dalam ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’ dan menyebabkan krisis?


Ya, krisis, krisis keyakinan yang berlaku.


Jadi, maksudnya badan kehakiman mesti jadi badan bebas dan tidak dipengaruhi?


Ya, bebas dan pemisahan kuasa itu ada, dengan sebab itu, kehakiman patut diletak di bawah Parlimen secara langsung atau di bawah Majlis Raja-Raja Melayu, supaya yang disebut Raja Berperlembagaan itu dipraktikkan dengan cara yang tepat.


Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?


Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri, tangan, jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.


Datuk Seri, tadi kata kita rasa malu sebab ada keaiban. Apa yang dimaksudkan dengan keaiban itu?


Keaibannya ialah kita melihat tidak ada pemisahan kuasa di antara semua pihak iaitu ‘legislatif, eksekutif dan judiciary’ dan Nabi kita Muhammad s.a.w. sendiri mengajar kita pemisahan kuasa ini dalam kes yang banyak dan dalam yang mengaibkan diri Nabi sendiri. Di mana Nabi s.a.w. tidak menggunakan kuasa dia tetapi dia melantik hakim untuk menyelesaikan masalah dia sendiri. Dan hakim itu diberi hak untuk menghukum jika dia salah.
SETIAP SAAT PERUBAHAN HENDAKLAH UNTUK MEMENANGKAN ISLAM
Setiap saat umat Islam hendaklah melakukan perubahan pada dirinya. Firman Allah;"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia".[Ar Ra'd:11]
Oleh itu, jalan yang selamat adalah kembali berpegang pada Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w semoga umat Islam Malaysia sentiasa mendapat perlindungan Allah Taala.
______Dari Lajnah Penerangan Dan Dakwah_____