
KUALA NERUS – 19 Feb - Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, menyambut Maulidur Rasul adalah satu syiar yang boleh, samada mahu disambut atau pun tidak, oleh orang Islam.
Sebaliknya, kata beliau, bertafakkur di hadapan tugu negara adalah haram yang sama sekali ditegah didalam Islam.
Namun katanya, pemimpin Umno tidak bercakap soal yang haram itu, apabila Perdana Menteri tunduk bertafakkur dihadapan Tugu Negara, tetapi membesar-besarkan berkaitan soal perarakan Maulidur Rasul
”Untuk…bertafakkur depan (Tugu Negara) memang tak boleh, yang ini (menyambut MaulidurRasul (adalah syiar), perarakan itu hanya sebahagian program sahaja, mengapa Umno tak bising (yang haram itu),”k atanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung cawangan DUN Seberang Takir, dekat sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu yang digembar-gemburkan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang cuba memburukkan Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.
Menurutnya, PAS mengambil pendirian bahawa sambutan MaulidurRasul hanyalah syiar dan perarakannya adalah program, yang tidak menjadi masalah, samada mahu melaksanakannya, atau pun tidak.
Oleh itu, di negeri Kelantan PAS tidak mengadakan perarakan tetapi mengadakan sambutan Maulidur Rasul dengan menganjurkan pelbagai Majlis Ilmu, yang mengingatkan umat Islam terhadap RasuluLlah dan perjuangannya menegakkan Islam.
Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau berkata pemimpin Umno ‘benak’ kerana tidak boleh melihat dan membezakan antara benda yang lebih besar dan penting, berbanding perkara yang kecil dan kurang penting.
Katanya perkara yang lebih besar dalam Islam adalah perkara yang dilarang dan diharamkan seperti bertafakkur dihadapan Tugu Negara.
”Umno tak nampak perkara ini, tetapi nampak menyambut Maulidur Rasul lebih besar sedangkan ia hanyalah satu syiar,”jelasnya.