
Bismillah walhamdulillah wassolatu wassalamu 'ala rasulillah wa'ala alihi wasahbihi wa man walah..
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahil hamd.
Dalam kesibukan menjalani kehidupan, diam tak diam Eidul Adha kembali lagi bertemu kita pada tahun ini. Eidul Adha mengingatkan kita kembali kepada sejarah perjuangan dua anak beranak, Nabi Ibrahim dan Ismail a.s yang menjadi lambang dan sejarah perngorbanan yang unggul dan sejati.
Sebagai misal, Nabi Ibrahim bukan sahaja berhadapan dengan penentangan kerajaan dan kaumnya yang kafir, malah lebih hebat daripada itu terpaksa juga berhadapan dengan ayahnya yang dikasihi. Sesudah itu terpaksa pula menerima arahan Allah Rabbul Jalil membawa keluarganya yang dikasihi ke bumi yang kering kontang, lalu diarahkan pula meninggalkan mereka di situ. Kemuncaknya, sesudah lama meninggalkan keluarganya dan kembali semula di tempat baginda meninggalkan mereka itu. Saat kasih sayang yang sudah lama terputus mula bertaut, Allah menduga pula dengan arahan yang maha hebat, anaknya Ismail a.s perlu dijadikan korban.
Bayangkan berapa banyak pengorbanan yang perlu dilakukan Nabi Ibrahim. Maka amat benarlah wahyu dari langit yang memuji baginda "Dan barangsiapa yang membenci ajaran Ibrahim, maka dia hanyalah membodohkan dirinya sahaja. Sesungguhnya kami telah memilihnya [Ibrahim] di dunia [menjadi Nabi dan Rasul], dan dia pada hari Akhirat tergolong di kalangan orang-orang yang soleh"..al Baqarah. Baginda terpaksa mengorbankan keluarga dan kaumnya, bangsa dan tanahair, jiwa dan perasaan, segala-galanya hanya kerana mahu menjunjung perintah dan arahan Allah Ta'ala.
Maka dalam perjuangan Islam yang sama-sama kita telusuri hari ini, ianya tetap berkehendakkan pengorbanan. Pengorbanan dalam suasana dan waqi' hari ini boleh dilakukan dalam banyak hal dan keadaan. Ada orang boleh memberi pengorbanan melalui infaqnya ke jalan Allah, ada orang yang berkorban untuk Islam dengan tulang empat keratnya, dan bermacam lagi. Apapun yang pasti, pengorbanan yang dilakukan dengan syarat mestilah ikhlas dan tidak bercanggah dengan syara' pastinya akan diberi ganjaran oleh Allah.
Untuk berkongsi sedikit pengalaman, saya sepanjang hari ini telah dibawa oleh pelajar-pelajar Al Azhar di Mesir melawat beberapa tempat bersejarah di sini. Antara yang menarik bagi saya, dalam perjalanan hendak menunaikan Solat Asar di Masjid Sultan Hassan, kami melalui satu kawasan yang dikenali Kubu Salahuddin Al Ayyubi. Kubu yang berdiri gagah sampai ke hari ini, tidak dibina atas impian, cita-cita dan angan-angan sahaja. Kubu ini telah menjadi saksi atas pengorbanan Salahuddin al Ayyubi dan bala tentera Islam yang tercatat dalam sejarah sebagai orang yang merampas mengembalikan semula tanah suci Baitul Maqdis ke tangan umat Islam. Kejayaan sebesar itu sudah pasti berkehendakkan tidak sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan.
Justeru itu, saya mengambil kesempatan EidulAdha ini untuk mengajak diri saya sendiri terlebih dahulu, dan kemudiannya semua para sahabat seperjuangan di Puchong khususnya untuk sama-sama kita meningkatkan pengorbanan kita dalam kerja-kerja Islam, menghindari perselisihan yang dicela agama, merapatkan ukhuwwah dan menjaga keberkatan dalam berjamaah ini. Tak lupa juga penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang korban, zakat dan infaq yang diamanahkan pada saya untuk pelajar-pelajar kita di sini.
Sekian,
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar, walillahil hamd.
MUHAMMAD SUFYAN BIN ISMAIL
YDP PAS PUCHONG
Kaherah, 12.25 mlm