/ /PAS PUCHONG /

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong


Kereta
[1007]Terbuka:Berbayar
Darussyifa
[1008]Ahli Darussyifa':SenaraiNama

Wednesday, March 31, 2010

Model Ekonomi Baru (MEB) tiada roh - Presiden PAS

Model Ekonomi Baru (MEB) tiada roh - Presiden PAS
Ditulis oleh Presiden PAS
WEDNESDAY, 31 MARCH 2010


KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS
MODEL EKONOMI BARU




Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Sesuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.


MEB juga menyebut bahawa objektif yang ingin dicapai ialah supaya rakyat dalam negara kita mampu mempunyai kuasa membeli yang tinggi, hidup lebih aman, pengurusan yang baik dan pemuliharaan sumber alam. Objektif ini sangat murni – tetapi penekanan terhadap peranan syarikat swasta dalam memacu ekonomi liberal kapitalis ini secara drastik akan meninggalkan kesan ekonomi terhadap penduduk luar bandar dan memungkinkan jurang antara bandar dan luar bandar terus melebar.


MEB itu juga merupakan imbasan kembali kepada konsep pensyarikatan dan penswastaan Malaysia yang dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri , di mana pihak kerajaan akan melepaskan kepentingannya sedikit demi sedikit dalam sektor perkhidmatan rakyat kepada pihak swasta. Walaupun pihak kerajaan memberikan jaminannya, akan tetapi rekod menunjukkan bahawa berlakunya pelepasan tangggungjawab kerajaan itu telah melahirkan satu monopoli baru sektor perkhidmatan yang akhirnya menekan ekonomi rakyat.


Apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.


Selain dari itu juga, penerusan sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.

Sunday, March 28, 2010

Ratusan umat Islam bantah akhbar Sweden


Tulisan: Green Background

Ramai umat Islam telah berkumpul di depan kedutaan Sweden di ibu negara bagi menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan tiga akhbar Sweden yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di masjid bersebelahan bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, mereka berarak ke kedutaan tersebut. Perarakan tersebut diketuai Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan dan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim.


Di samping bertakbir dan berselawat, mereka melaungkan kata-kata “Idiot Sweden”, “Halau Sweden”. Kain rentang dan poster bertulis “Don't Insult Our Prophet Muhammad", (Jangan Hina Nabi Kami Muhammad). Polis telah memberi kerjasama untuk memastikan lalulintas berjalan lancar.

Setibanya perarakan itu di kedutaan Sweden di Plaza OSK, Jalan Ampang, Nasrudin dan Jais telah bertemu pihak kedutaan tersebut untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandum dua halaman itu telah ditandatangani 19 NGO Islam antaranya menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelukis karikatur itu dan tiga akhbar yang didakwa menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Selepas itu, pemimpin PAS dan NGO telah menyampaikan kata-kata agar pihak Sweden mengambil tindakan tegas keatas mereka yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. Beliau dalam ucapannya menyifatkan karikatur yang disiarkan itu amat menyentuh sensitiviti dan mencabar umat Islam seluruh dunia.




Selepas itu Nasarudin membakar bendera Sweden sebagai memprotes tindakan pihak Sweden menghina Nabi Muhammad s.a.w. "Kita berhimpun serentak bersama dengan umat Islam di seluruh dunia, disebabkan kebiadaban pelukis karikatur berkenaan"."Oleh itu kita minta kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas kepada pelukis dan akhbar itu," katanya. Manakala Jais pula dalam ucapannya berkata GPMS tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menghina Nabi Muhammad."Mana-mana pihak yang menghina Melayu dan Islam, kita akan bersama-sama (bangkit) untuk menyatakan pendirian kita dengan jelas," katanya.

Friday, March 26, 2010

Selepas diserang Utusan: Adun Selangor pertahan Sultan


SHAH ALAM, 22 Mac: Sekurang-kurangnya lima Adun Selangor akan mengadakan sidang media esok bagi mempertahankan Sultan mereka selepas diserang oleh Utusan Malaysia melalui ruangan Awang Selamat, iaitu ruangan yang ditulis oleh pemimpin editorial akhbar Umno itu.

Kelima-lima mereka memanggil satu sidang akhbar khas atas nama "ADUN-ADUN SELANGOR PERTAHANKAN SULTAN SELANGOR."

Mereka yang akan mengadakan sidang akhbar itu adalah Amirudin Shari (Batu Caves), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Dr. Abdul Rani Osman (Meru) dan Dr. Ahmad Yunus (Sijangkang).

Ia akan diadakan jam 12.30 tengahari esok di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Annexe Bangunan SUK, Shah Alam.

Utusan Malaysia hari ini, melalui tulisan Awang Selamat, menyiarkan satu tulisan yang disifatkan sebagai mempertikaikan tindakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang membatalkan rancangannya untuk merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dijadualkan pada 27 Mac ini.

Ulasan yang dibuat oleh pimpinan editorial Utusan itu dianggap mencabar keputusan Sultan Selangor itu dan mengungkit siapakah yang membela raja-raja Melayu selama ini.

Antaranya, Utusan melaporkan:

"Awang ingin bertanya kepada semua, siapakah paling lantang dan ke hadapan mempertahankan kedaulatan institusi raja Melayu ketika dihina, jika bukan Perkasa. Di mana suara NGO bukan Melayu dan tauke-tauke kaya raya ketika Raja-Raja Melayu dicabar?"

Ekoran keputusan Sultan Selangor tidak mahu merasmikan mesyuarat itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir akan menggantikannya.

Wednesday, March 24, 2010

1 Malaysia Najib lompang, tiada pengisian – Presiden PAS


Ditulis oleh Harakahdaily
TUESDAY, 23 MARCH 2010


KUALA LUMPUR, 23 Mac - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai lompang dan tiada pengisian yang jelas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam berkata, 1Malaysia belum bebas daripada masalah moral di kalangan pemimpin Umno/BN.


"Bukan saya marah 1Malaysia, tapi jangan tulis 1Malaysia besar-besar tapi pengisian tidak tepat. Di negeri saya (Terengganu) contohnya, banyak sekolah didirikan di pedalaman tapi tiada pelajar. Ada kelas yang langsung tidak ada pelajar disebabkan kroni-kroni Umno/BN berebut untuk mendapatkan projek sehingga berlakunya lebihan sekolah.


"Tetapi ada pula di kawasan yang padat penduduk tapi sekolah tidak mencukupi. Bilik darjahnya tak cukup, makmal komputer runtuh kerana masih ada salah urus, rasuah yang perlu disiasat," katanya.


Beliau juga berkata, kerajaan terdahulu bertanggungjawab terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa hari ini kerana ianya diwarisi oleh mereka.


"Perkara ini berlaku dalam era pemerintahan yang lalu. Jadi kerajaan hari ini harus berani menyatakan kesalahan pemimpin yang lalu," katanya.


Beliau menambah, slogan 1Malaysia akan juga menjadi seperti slogan yang terdahuliu jika kerajaan hanya memikirkan slogan pada zahirnya, tanpa berusaha meningkatkan mutunya.


"Media yang hanya mengiklankan 1Malaysia, sehingga salam pun 1Malaysia, bukan mengisi modal insan akan menyebabkan slogan 1Malaysia menerima nasib yang sama dengan slogan yang terdahulu," katanya.


Ustaz Abdul Hadi (gambar) turut menyentuh mengenai media yang semakin tidak bermutu kerana lambakan rancangan hiburan yang melampau, mendahului fungsinya sebagai penyebar ilmu dan maklumat kepada rakyat.


"Media ialah alat mengilmukan rakyat tapi sekarang ini media dipenuhi oleh hiburan yang melampau. Media bukan lagi menjadi alat untuk kita mendapatkan ilmu yang berfaedah sebaliknya hanya menjadi penting ketika adanya pilihan raya kerana media digunakan Umno/BN untuk memenangkan mereka.


“Rakyat sedang diperbodohkan kerajaan melalui media dengan menyiarkan iklan-iklan yang melampau menjadikan rakyat lebih berkhayal di alam impian daripada berilmu dan beramal di alam nyata," katanya.


Menyentuh mengenai sistem kehakiman pula, Beliau berkata, sehingga kini sistem itu di Malaysia belum mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada rakyat.


"Betapa besarnya bidang kehakiman, sehingga Islam meletakkannya dalam perkara fardu kifayah dan menjadi perkara fardu ain pula kepada pengamalnya. Oleh sebab itu, Islam meletakkan sistem ini terpisah dengan sistem lain," katanya.

MP, Adun PAS tidak terjun dari bahtera


SEBERANG JAYA, 22 Mac - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berbangga dengan prestasi semua ahli parlimen (MP) mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu seluruh negara kerana tidak gopoh terjun daripada bahtera yang sedang belayar.

Ketika menyampaikan amanat di Dewan Perpustakaan Negeri Sabtu lalu, beliau menambah, berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat, PAS ternyata ke hadapan sebagai sebuah organisasi yang mantap.


"Walaupun bahtera kadang-kadang terumbang ambing namun PAS berjaya menunjukan prestasi yang baik tidak mudah terjerat dengan mainan politik yang dicipta oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Sikap tidak gopoh menghadapi sebarang rintangan, " jelasnya dalam program anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.


Oleh itu, beliau menggesa semua organisasi PAS harus mengatur program dengan lebih berkesan dan agresif supaya muncul formula baru yang dapat mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat.


“Di sinilah kekebalan PAS menerusi baiah, usrah dan pertemuan dapat menghindarkan tanggapan buruk serta memperjelaskan kedudukan sebenar sekaligus dapat membersihkan tohmahan musuh.


"Sebenarnya baiah, usroh dan pertemuan dalaman memberi kelebihan pada PAS sendiri. Kita dapat membina kekuatan dalaman dan mengawal tindak tanduk yang boleh mengancam kestabilan politik parti sendiri," tegasnya.


Katanya, sikap sedemikian dapat membentuk jati diri yang kuat di samping bersatu hati dalam sebarang isu dan bersama memantau jika timbul persoalan yang sukar diselesaikan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia walaupun tahu ia datang dari barat.


Melaluinya, kata beliau PAS berpeluang menyampaikan dakwah dan penerangan dengan lebih baik asalkan bijak mengatur isi penyampaian samada di masjid, surau ataupun medan ceramah sempena hari kebesaran Islam dan sebagainya.


Tambahnya, PAS adalah wadah politik yang perlu dipertanggugjawabkan bukan untuk main-main, maka apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan telah mengambil kira semua risiko.


"Kita bukan berperang yang mahu membunuh musuh tapi kita berdemokrasi yang mana perlu mengintai peluang agar terus berjaya menonjolkan PAS ke arah yang lebih tinggi, " tambahnya.

Saturday, March 20, 2010

Tolak pilihan raya PBT, Najib takut hilang kuasa

Tolak pilihan raya PBT, Najib takut hilang kuasa
PETALING JAYA, 9 Mac: Mungkin takut hilang kuasa politik dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor dan Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak tuntutan dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu untuk mengadakan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yakin bahawa Najib sedar pengaruh politik Umno di negeri-negeri terbabit kian rapuh.

“Najib tidak akan buat pilihan raya dia dua negeri ini kerana dia yakin bahawa mereka akan tetap kalah di kebanyakan kawasan, walaupun mereka selalu kata bahawa mereka sudah mulai kuasai kedua-dua negeri ini,” jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.

Keengganan Najib menerima tuntutan Selangor dan Pulau Pinang itu menurut Badrul, sekaligus mencerminkan bahawa kerajaan pimpinan Najib tidak bercita-cita memulihkan sistem demokrasi tanah air.

“Kalau demokrasi dapat menghilangkan kuasa politik mereka, maka rejim ini akan cuba sedaya-upaya tolak apa jua sistem pemilihan (termasuk) pilihan raya kerajaan tempatan,” jelasnya.

Badrul berkata, rakyat sepatutnya dibenarkan memilih ahli majlis PBT mereka sendiri kerana mereka membayar cukai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa maksud ‘politiking’ yang cuba dielak Najib itu bermaksud Umno BN tidak mahu rakyat didedahkan dengan isu royalti minyak, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), misteri pembunuhan Altantuya, masalah ekonomi dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang kerana berani menuntut diadakan pilihan raya kerajaan tempatan atas nama demokrasi.

Cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan itu kembali timbul apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengutuskan sepucuk surat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof supaya menguruskan proses pilihan raya ahli majlis bagi mengisi PBT.

Ianya membabitkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

Begitu juga dengan inisiatif Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengutuskan surat tuntutan yang sama kepada SPR.

Sejak diperkenalkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada 40 tahun yang lalu, pilihan raya kerajaan tempatan tidak lagi diadakan di tanah air.

Ketiadaan pilihan raya kerajaan tempatan itu dikaitkan dengan pengisytiharan darurat pada 3 September 1976.

Pakatan Rakyat sebelum ini meletakkan pilihanraya kerajaan tempatan dalam manifesto Pilihanraya Umum ke-12 lalu sebagai salah satu perubahan yang akan dibuat.

Demo: PAS ucap tahniah kepada Orang Asli

Ustaz Idris Hj Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Parti Islam Semalaysia mengucap tahniah kepada orang asli yang mengadakan tunjuk perasaan di Putrajaya pada 18 Mac 2010 kerana menuntut hak mereka yang dicabul. Penghormatan yang patut diberikan kepada mereka kerana keberanian dan boleh mengumpulkan seramai dua ribu orang adalah merupakan suatu perkara yang menakjubkan semua pihak.




Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri. Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.


Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.


Nampaknya orang asli lebih sensitif dalam mempertahankan hak mereka yang dicabul oleh kerajaaan BN. Walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini berkata: "Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.".


Kejayaan orang asli yang mengumpulkan hampir 2 ribu orang ke Putrajaya merupakan satu perkembangan yang baik. Ini bermakna kesedaran politik yang dilaungkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat selama ini sudah mendasari hingga ke akar umbi, seperti orang asli sudah berani menuntut hak mereka melalui jalanraya. Selama ini orang asli hanya menjadi pemerhati dari jauh dan dilihat oleh pemimpin BN sentiasa menyokong tindakan kerajaan. Hari ini mereka telah melakarkan sejarah kebangkitan rakyat dan sebagai mercu tanda perubahan politik pada masa akan datang insyaAllah.
SETIAP SAAT PERUBAHAN HENDAKLAH UNTUK MEMENANGKAN ISLAM
Setiap saat umat Islam hendaklah melakukan perubahan pada dirinya. Firman Allah;"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia".[Ar Ra'd:11]
Oleh itu, jalan yang selamat adalah kembali berpegang pada Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w semoga umat Islam Malaysia sentiasa mendapat perlindungan Allah Taala.
______Dari Lajnah Penerangan Dan Dakwah_____