/ /PAS PUCHONG: November 2009 /

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong

Selamat Datang Ke Laman Blog Rasmi PAS Puchong


Kereta
[1007]Terbuka:Berbayar
Darussyifa
[1008]Ahli Darussyifa':SenaraiNama

Monday, November 30, 2009

Takutlah Doa Mangsa Kezaliman


Takutlah Doa Mangsa Kezaliman
Posted on Sunday, November 29 @ 02:12:00 PST by tokdalang
Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Ameen Ya Rabbal A'lamin . Saya dan seluruh pemuda Islam insyaallah mengaminkan doa Tok Guru sebagai seorang ulama' dan pemimpin yang dizalimi tanpa sebarang belas simpati

2. Sabda Rasulullah saw :
اتقوا دعوة المظلوم فإنها ليس بينها و بين الله حجاب
[ Takutlah olehmu akan doa orang - orang yang dizalimi kerana sesungguhnya antara doa orang yang dizalimi dengan Allah swt tiada hijab - halangan - ]

ibnu Hibban
3. Rakyat dan pemimpin negeri Kelantan telah dizalimi apabila Kerajaan UMNO dan BN gagal memberikan hak mereka berupa royalti hasil minyak petroleum kurniaan Allah swt kepada bumi Kelantan . Kegagalan Kerajaan UMNO dan BN menunaikan tanggungjawab mereka memulangkan hak rakyat negeri kelantan sebenarnya adalah sikap yang dicela oleh Allah swt .



4. Belumpun sempat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berdoa , terlebih dahulu kutukan laknat dari Allah swt telah mengenai orang yang berlaku zalim biarpun ia mengaku muslim malah mendirikan sembahyang . Lihat sahaja bagaimana firman Allah swt di dalam surah al Maa'un ayat 4 hingga ayat 7 :

فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون و يمنعون الماعون

[ Maka celakalah bagi orang yang mendirikan sembahyang namun lalai di dalam sembahyangnya , orang - orang yang riya' dalam amalannya dan mereka yang menghalang rezeki - barang bermanafaat dari sampai kepada pihak yang selayaknya - .]

5. Antara rezeki dan harta atau barang yang bermanafaat untuk rakyat Kelantan ialah royalti justeru royalti adalah hak mereka . Malangnya kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib termasuk dalam golongan mereka yang menghalang rezeki tersebut . Tuan Guru selaku pemimpin kerajaan negeri sudah jenuh berikhtiar dengan penuh diplomasi sebelum ini , nampaknya Datuk Najib dan kerajaan UMNO dan BN yang dipimpinnya tidak memahami bahasa diplomasi .

6. Bahasa apa lagi yang boleh digunakan oleh golongan tertindas melainkan hanyalah mengadu kepada Tuhannya yang Maha Adil lagi Maha Mendengar doa hambaNya yang terainaya . Doa adalah senjata orang yang beriman terutama saat mereka kehabisan ikhtiar dan tiada pilihan lagi . [ الدعاء سلاح المؤمن ]
7. Adapun langkah Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyebut nama di dalam doa beliau sebenarnya tidaklah bercanggah dengan sunnah bahkan Nabi saw pernah menyebut nama - nama mereka yang menentang dan menzalimi baginda saw dan ummat Islam . Nabi saw saat hiba mengenang perbuatan Quraisy [ Uqbah bin Abi Mu'it ] yang meletakkan najis di atas belakangnya sewaktu sujud dihadapan Kaabah , sejurus dibersihkan jasad Baginda saw oleh Fatimah radhiallahuanha , Rasulullah saw berdoa :

اللهم عليك بقريش

Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMu urusan untuk membinasakan Quraisy . [ sebanyak 3 kali ]

8. Sebaik mendengar doa ini , penduduk Quraisy yang tadinya ketawa besar melihat keadaan Muhamad saw tiba - tiba terdiam kerana takutkan doa tersebut . lalu Nabi saw menyambung doanya :

اللهم عليك بأبي جهل بن هشام و عتبة بن ربيعة و شيبة ين ربيعة و الوبيد بن عتبة و أمية بن خلف و عقبة بن أبي معيط

Ya Allah ! Aku serahkan kepadaMU urusan untuk membinasakan Abi jahal bin Hisyam , Utbah bin Rabia'h , Syaibah bin Rabia'h , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't .

Ibnu Masu'd bersumpah : Demi Allah yang diriku berada didalam genggamanNya , kesemua nama yang disebut itu terbunuh didalam peperangan Badar .
Sirah Ibnu Ishaq

9. Zambry [ Menteri besar Perak yang tidak sah ] menunjukkan kejahilannya apabila mengeluarkan kenyataan kononnya Nabi saw tidak pernah mendoakan kecelakaan Abu Lahab . Mungkin Zambry juga tidak membaca al Quran Surah al Lahab . Bukankah Allah swt telah berfirman maksudnya :

Celakalah Kedua - dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya ia akan binasa . Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan . kelak dia akan masuk ke dalam api yang membara . Dan begitu pula isterinya , pembawa kayu api yang dilehernya ada tali dari sabut .

Jika Allah telah melaknatnya dan ayat itu dibaca sepanjang zaman . Apakah Zambry memerlukan ayat lain untuk melaknat Abu Lahab ? Ayat ini dibaca oleh Nabi saw dan seluruh ummatnya disepanjang zaman .

10. Selayaknya orang yang dizalimi bersabar dan bermunajat kepada Allah swt . Allah adalah Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui . Allah tidak akan mensia - siakan doa hambaNya yang menderita dan sengsara angkara kezaliman

Wednesday, November 25, 2009

PERUTUSAN EIDUL ADHA 1430


Bismillah walhamdulillah wassolatu wassalamu 'ala rasulillah wa'ala alihi wasahbihi wa man walah..

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahil hamd.

Dalam kesibukan menjalani kehidupan, diam tak diam Eidul Adha kembali lagi bertemu kita pada tahun ini. Eidul Adha mengingatkan kita kembali kepada sejarah perjuangan dua anak beranak, Nabi Ibrahim dan Ismail a.s yang menjadi lambang dan sejarah perngorbanan yang unggul dan sejati.

Sebagai misal, Nabi Ibrahim bukan sahaja berhadapan dengan penentangan kerajaan dan kaumnya yang kafir, malah lebih hebat daripada itu terpaksa juga berhadapan dengan ayahnya yang dikasihi. Sesudah itu terpaksa pula menerima arahan Allah Rabbul Jalil membawa keluarganya yang dikasihi ke bumi yang kering kontang, lalu diarahkan pula meninggalkan mereka di situ. Kemuncaknya, sesudah lama meninggalkan keluarganya dan kembali semula di tempat baginda meninggalkan mereka itu. Saat kasih sayang yang sudah lama terputus mula bertaut, Allah menduga pula dengan arahan yang maha hebat, anaknya Ismail a.s perlu dijadikan korban.

Bayangkan berapa banyak pengorbanan yang perlu dilakukan Nabi Ibrahim. Maka amat benarlah wahyu dari langit yang memuji baginda "Dan barangsiapa yang membenci ajaran Ibrahim, maka dia hanyalah membodohkan dirinya sahaja. Sesungguhnya kami telah memilihnya [Ibrahim] di dunia [menjadi Nabi dan Rasul], dan dia pada hari Akhirat tergolong di kalangan orang-orang yang soleh"..al Baqarah. Baginda terpaksa mengorbankan keluarga dan kaumnya, bangsa dan tanahair, jiwa dan perasaan, segala-galanya hanya kerana mahu menjunjung perintah dan arahan Allah Ta'ala.

Maka dalam perjuangan Islam yang sama-sama kita telusuri hari ini, ianya tetap berkehendakkan pengorbanan. Pengorbanan dalam suasana dan waqi' hari ini boleh dilakukan dalam banyak hal dan keadaan. Ada orang boleh memberi pengorbanan melalui infaqnya ke jalan Allah, ada orang yang berkorban untuk Islam dengan tulang empat keratnya, dan bermacam lagi. Apapun yang pasti, pengorbanan yang dilakukan dengan syarat mestilah ikhlas dan tidak bercanggah dengan syara' pastinya akan diberi ganjaran oleh Allah.

Untuk berkongsi sedikit pengalaman, saya sepanjang hari ini telah dibawa oleh pelajar-pelajar Al Azhar di Mesir melawat beberapa tempat bersejarah di sini. Antara yang menarik bagi saya, dalam perjalanan hendak menunaikan Solat Asar di Masjid Sultan Hassan, kami melalui satu kawasan yang dikenali Kubu Salahuddin Al Ayyubi. Kubu yang berdiri gagah sampai ke hari ini, tidak dibina atas impian, cita-cita dan angan-angan sahaja. Kubu ini telah menjadi saksi atas pengorbanan Salahuddin al Ayyubi dan bala tentera Islam yang tercatat dalam sejarah sebagai orang yang merampas mengembalikan semula tanah suci Baitul Maqdis ke tangan umat Islam. Kejayaan sebesar itu sudah pasti berkehendakkan tidak sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan.

Justeru itu, saya mengambil kesempatan EidulAdha ini untuk mengajak diri saya sendiri terlebih dahulu, dan kemudiannya semua para sahabat seperjuangan di Puchong khususnya untuk sama-sama kita meningkatkan pengorbanan kita dalam kerja-kerja Islam, menghindari perselisihan yang dicela agama, merapatkan ukhuwwah dan menjaga keberkatan dalam berjamaah ini. Tak lupa juga penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang korban, zakat dan infaq yang diamanahkan pada saya untuk pelajar-pelajar kita di sini.

Sekian,

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar, walillahil hamd.

MUHAMMAD SUFYAN BIN ISMAIL
YDP PAS PUCHONG
Kaherah, 12.25 mlm

Saturday, November 21, 2009

Wajib Baca : Perbezaan PAS dan UMNO


Wajib Baca : Perbezaan PAS dan UMNO
Posted on Thursday, November 19 @ 18:36:02 PST by tokdalang
Oleh Dato’ Ustaz Haji Harun bin Taib

Masalah PAS dan UMNO bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh UMNO atau PAS


Masalah antara UMNO dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah Negara Malaysia, samada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara.
Adapun pun UMNO sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. UMNO kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan ramadhan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan Negara mencabar Quran dan Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, UMNO yang menjadi teras kepimpinan Negara, terang-terang menolak hukum ALLAH didalam bidang pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian disetiap detik berlaku dinegara ini.

Setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. UMNO menghapus “kuasa imuniti Raja-Raja” yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. UMNO membenarkan “Riddah” atau murtad berleluasa. UMNO juga mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.

Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh UMNO. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan ‘LA ILAHA ILLA ALLAH’. Oleh itu, jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan ALLAH, menabikan Muhammad S.A.W, kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah Negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.

Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapore ada masjid, di German pun ada masjid. Namun pentadbiran Negara mereka juga tidak mengikut ajaran islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin dinegara barat dan timur yang Sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO diMalaysia ini.

Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai tentang UMNO membela Islam dan menegakkan syiar Islam.

Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am pada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekaligus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam?

Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang UMNO mencabar Al-Quran. Antaranya, Al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, sudi nasib atau tenung nasib, tetapi UMNO yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi. Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya ALLAH memerintah supaya Negara ditadbir dengan ajaran ALLAH, namun UMNO menolaknya.

Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benin iman di dalam hati para pemimpin UMNO, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya mereka bertaubat dan kembali kepada jalan ALLAH. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan ALLAH itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka.

Meneruskan Perjuangan Para Nabi

Dato’ Ustaz Haji Harun bin Taib
Ketua

Dewan Ulamak PAS Pusat

Pemberian wang ehsan jadi alat politik bukan undang-undang

PARLIMEN : Pemberian wang ehsan jadi alat politik bukan undang-undang

Yang Berhormat Tuan Pengerusi saya ingin menyentuh yang pertama B.4, 010000 -Suruhanjaya Pilihan Raya, 010100, 010200.

Sebagaimana kita maklum bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya tiap-tiap sepuluh tahun mereka membuat persediaan baru. Melihat kepada perkembangan semasa dan terkini, apa yang mendukacitakan tiga buah negeri di Utara dan Pantai Timur, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak mengalami perubahan sebagaimana ianya berlaku dan tidak ada penambahan kawasan Parlimen.

Kawasan-kawasan di sana adakan juga satu kawasan Parlimen seperti Baling, Sik, Kuala Krai, Jeli, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman. Sebahagiannya sama besar dan lebih besar dari negeri Perlis. Akan tetapi tidak ada perubahan oleh kerana kita telah mengalami keadaan yang berubah, penduduk yang bertambah, menyebabkan mereka yang menjadi Ahli-ahli Parlimen mengalami kesukaran untuk melawat dan mengendalikan anak buah mereka dalam keadaan yang berubah.


Oleh kerana itu, sangat wajar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya di bawah Jabatan Perdana Menteri membuat kajian untuk membuat perubahan kepada kawasan-kawasan di negeri tersebut. Kedua, saya ingin menyentuh B.6, 020000 - Unit Perancang Ekonomi dan 020200 - Perancangan Ekonomi, sebagaimana yang disebut oleh rakan-rakan yang lain dalam perbahasan tadi bersabit dengan royalti petroleum yang dibatalkan di Terengganu pada tahun 2000 dan terkini di Kelantan.

Saya melihat ianya lebih bersifat politik daripada bersifat perundangan dan perjanjian yang sebenarnya berlaku, kita perlu kembali kepada kronologi bagaimana royalti itu berlaku kepada negeri-negeri di Sabah dan Sarawak dan diikuti oleh negeri Terengganu. Hasil dari perundingan antara Almarhum Perdana Menteri Tun Abdul Razak dengan kalangan perundangan dan kalangan ekonomi bagi menyelesaikan krisis di antara Malaysia Timur dan Barat pada masa itu.

Lalu mereka bersetuju menggubal dan meluluskan Akta Petroleum 1974 yang membawa kepada penubuhan Petronas. Maka Petronas telah mengadakan perjanjian dengan semua negeri-negeri, di mana ternyata dalam perjanjian itu, mana negeri yang ada hasil petroleum sama ada di laut ataupun di darat tanpa mengira berapa jaraknya di laut, maka diberi peruntukan royalti sebanyak 5%. Maka diberi kepada Sabah dan Sarawak.

Negeri Terengganu berlangsung pada tahun 1978 sehingga tahun 2000, ertinya 20 tahun lebih sehinggalah kerajaan PAS memerintah, kerajaan Pakatan Rakyat memerintah di masa itu, maka berlaku perubahan.

Di mana kita melihat pemberian di negeri Terengganu sama dengan negeri Sabah dan Sarawak. Secara rasmi melalui kenyataan Perdana Menteri di masa itu.

Melalui jawapanjawapan di Parlimen, melalui kenyataan bertulis dan kenyataan lisan semuanya menggunakan perkataan royalti. In secara rasmi dan kenyataan yang jelas dan nyata. Saya melihat perubahan berlakunya rampasan terhadap negeri Terengganu adalah kerana lebih berunsurkan politik, berunsurkan hilangnya semangat patriotisme dan hilangnya semangat persaudaraan di kalangan negeri.

Menganggap Pembangkang adalah musuh dan kita perlu ingat bahawa pembatalan ini berlaku hasil daripada peranan UMNO, tahun 2000. Apabila adanya cadangan dari UMNO, kalau tidak silap saya usul yang mendesak supaya dibatalkan royalti petroleum pada negeri Terengganu kerana diperintah oleh parti yang dianggap tidak sama dengan Kerajaan Pusat.

Maka berlakulah peristiwa yang malang dan mendukacitakan.
Bertukar kepada duit ihsan, yang malangnya ihsan ini bukannya rakyat diutamakan. Akan tetapi kroni diutamakan. Kerana duit ihsan ini dikendalikan oleh tangan-tangan yang tertentu.

Sama ada tangan-tangan yang nyata atau tangan-tangan yang ghaib. Melalui projekprojek yang besar, projek-projek yang mewah, maka diutamakan kroni-kroni yang tertentu, hanya kuah yang sedikit turun kepada rakyat. Ini ternyata, ini yang berlaku di negeri Terengganu yang menimbulkan krisis di antara istana dan di antara politik. Ini puncanya. Saya bimbang Kelantan akan mengalami nasib yang sama akan mengalami keadaan yang sama.

Yang ketiga, saya ingin menarik perhatian kepada 050000 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berhubung dengan penguatkuasaan barangan halal. Barangan halal merupakan barangan yang menarik minat seluruh dunia, bukan sahaja dari kalangan orang Islam termasuk di kalangan orang yang bukan Islam. Kerana apabila sebut halal bukan sahaja berkat pada orang Islam, termasuklah bersih, adanya unsur-unsur kebersihan. Maka ia mendapat satu pasaran yang luas.

Apa yang membimbangkan, di sana ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang menyalahgunakan sijil halal. Oleh kerana itu, satu peraturan yang tegas, satu tindakan tegas perlu diadakan supaya persijilan halal ini tidak menjadi bahan yang dipermainkan dan berlakunya penyelewengan.

Seterusnya ialah berkait dengan 010000 - Khidmat Sokongan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Di mana dalam bahagian 010400 - Kecemerlangan Dan Profesionalisme. Saya melihat ini berlaku kegagalan. Mengapa gagal? Walaupun kita telah berpuluh tahun mencapai kemerdekaan sedangkan indeks rasuah sangat menjunamkan negara kita ke suatu tahap yang sangat memalukan walaupun kita menobatkan dan menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana tidak ada unsur Islam di dalam undangundang pencegahan rasuah. Unsur perhitungan dosa dan pahala. Undang-undang yang tidak roh, undang-undang yang menganggap hanya pandangan mata manusia. Tidak melihat diketahui oleh Allah SWT sedangkan dari segi Islam rasuah adalah perkara dosa besar yang diberi amaran oleh Al-Quran, yang diberi amaran oleh hadis-hadis Nabi SAW.

Dianggap amalan kaum Bani Israel, yang dilaknat oleh Allah SWT, mengapa roh ini tidak masuk dalam diri orang Islam? Sebabnya kerana kita tidak memperkasakan undang-undang itu
berdasarkan kepada roh dan sifat yang sebenar, maka berlakulah double standard di dalam tindakan. Seperti disebut rakan-rakan tadi, maka ikan-ikan kecil sahaja yang ditangkap, ikan-ikan yang besar terlepas begitu sahaja, maka berlakunya tindakan yang terpilih.

Kerajaan mestilah merasa malu dan mestilah membuat muhasabah diri dalam menangani masalah dan saya mengharap Perdana Menteri yang baru ini akan membuat perubahan dengan cara yang sebaikbaiknya.

Wednesday, November 18, 2009


Jatuh Jua Air Mata Ku

Oleh Ismail Sharkawi
Jatuh jua airmata ku.....

Menitik air mataku....
Mendengar keluhan n rintihan..
Resah hati seorang ayah dan ibu...
Gelojak jiwa...gelora rasa...
Tentang nasib si anak tercinta..
Begitukah gerangan menimpa.....
Aduhai....anak
Hebat sungguh ujian mu..
Hingga aku terfikir..
Apakah dosa mu hingga begini yang terjadi....
Sungguh dahsyat dugaan mu..
Namun....
Inilah ketentuan tuhan...
Takdir yang telah ditentukan..
Sebagai hambaNya...
Kita hanya mampu berdoa....
Disamping cekal berusaha..
Mencari jalan penyelesaian.
Mengurai segala kekusutan..

Jatuh jua airmata ku..
Melihat penderitaan mu..
Tapi...tiada apa yang mampu ku perlaku..
Hanya berkongsi rasa..
Selain memanjatkan doa.....
Sujud menyembah Mu
Agar ...segalanya kembali seperti adanya...

Dan.....jatuh jua airmata ku....

Catatan:

Sebagai menzahirkan rasa simpati ke atas nasib yang menimpa adik Zulhelmi Bin Zulkarnain (Rumah Pangsa Begonia, Bandar Puteri, Puchong) yang lumpuh akibat keracunan makanan yang disediakan di Surau untuk juadah More pada bulan Ramadhan yang lepas.

Bersama Pengarah JPD DUN Seri Serdang menyusuri adik ini di rumah keluarganya pada pagi 18 Nov 2009. YDP dan Setiausaha PAS Kawasan Puchong turut serta dalam kunjungan ziarah ini. YDP PAS telah menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM 2,000.00 kepada ayahandanya yang pastinya memerlukan sokongan dan sumbangan selain menzahirkan simpati. Semuga sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit beban kewangan keluarga ini untuk pembiayaan rawatan anak ini.

Kami insan yang kerdil ini hanya mampu menadah doa memohon kepada Allah swt; agar anak ini segera disembuhkan penyakitnya dan sihat, bermain dan berlari seperti sebelumnya.. ....Amin. ....

Sekian dan wassalam,

Sunday, November 15, 2009

Menyebar Maklumat bohong ke Neraka


(Teks ucapan penuh Ucapan Tuan Guru Presiden PAS sempena Majlis Makan Malam 10 tahun JICT PAS)

Selasa, 10 November 2009

Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat.

Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.

Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai.

Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia.

Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.

Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai.

Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam.

Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.

Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT.

Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.

Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar.

Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.

Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita.

Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.

Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk,maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.

Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.

Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.

Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita.

Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.

Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.

Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai.

Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.

Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat .

Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.

Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir.

Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.

Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar.

Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.

Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah.

Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.

Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.

Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda.

Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.

Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.

Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.

Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita.

Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar.

Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.

Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia”
Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan.

Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.

Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan.

Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT.

Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini.

Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.

Disini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja.

Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini.

Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita.

Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.


Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.

Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt

Friday, November 13, 2009

Tiada lafaz 'cerai talak tiga' dalam bai'ah PAS


KUALA LUMPUR, 13 Nov - PAS hari ini mendedahkan bai'ah (janji setia) dengan lafaz menceraikan isteri dengan talak tiga adalah bukan lafaz rasmi dari parti itu.

Penafian itu dibuat Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali setelah beliau sendiri menyiasat dakwaan tersebut sebagaimana diarah Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.


Menurutnya, kesemua negeri menggunakan lafaz bai'ah rasmi tersebut kecuali sedikit berbeza bagi wakil rakyat mereka di Selangor.


"Presiden kata benda ini (bai'ah talak tiga) tidak berlaku dan dia minta saya siasat semua negeri."


"Semua negeri mengikut rasmi, ikut pusat kecuali Selangor, ada kelainan sedikit." jelasnya.


Dalam sidang media di pejabat Agung PAS pagi tadi, beliau turut mendedahkan beberapa skrip baia'ah rasmi PAS yang diguna Abdul Hadi, beliau sendiri dan Mohammad Sabu.


Kesemuanya adalah sama dan tiada langsung berkait 'cerai talak tiga' kecuali yang ada hanya lafaz laknat jika mengkhianati parti.


"WaLlahi wa biLlahi wa taLlahi. Bahawa saya, Hj. Mustafa bin Ali yang diamanahkan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk bertanding dalam pilihanraya umu kali ke-12 dalam kawasan DUN N17 Alor Limbat bersumpah dengan nama Allah sama ada saya menang atau kalah di dalam pilihanraya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini, iaitu Islam.


"Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan ini (iaitu Islam), maka saya akan dilaknat oleh Allah, para Malaikat dan para pelaknat," lafaz baiahnya dibaca di hadapan wartawan.



Jelasnya, bai'ah yang dilakukan PAS sekadar mekanisme biasa bagi mengikat wakil rakyat parti demi memastikan para mereka tidak mengkhianati amanah parti.


"Oleh kerana PAS memperjuangkan Islam, maka menggunakan bai'ah...sama seperti BN sendiri, wakil rakyat yang menang diminta tandatangan satu surat tanpa tarikh yang ditujukan kepada Speaker (Dun dan Parlimen) memaklumkan bahawa dia meletak jawatan. Jadi, Surat itu digunakan bila wakil rakyat lompat parti."


Tambahnya lagi, bai'ah PAS Selangor beberbeza dengan negeri-negeri lain mungkin disebabkan bimbang para wakil rakyatnya dibeli BN kelak.


"Ada kebimbangan akan ada wakil rakyat lompat parti sebab yang beli biasa parti pemerintah (Umno dan BN)."


Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa pemimpin PAS yang menggunakan media untuk mengulas isu 'bai'ah talak tiga', telah pun diberi nasihat agar tidak mengeruhkan keadaan lagi.


Beliau juga menasihatkan pihak media agar tidak memanjangkan isu tersebut, setelah mendengar penjelasannya hari ini.

Wednesday, November 11, 2009

UCAPTAMA PRESIDEN PAS SEMINAR KHAS MEMPERKASAKAN PARTI (PAS)

19hb Zulkaedah 1430 / 07hb November 2009
Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur

Memperkasakan Parti, Mendepani Kemenangan Pilihanraya Umum Ke-13.


Muqaddimah

Firman Allah (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman…!!!, barang sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu daripada agama-Nya (Islam), nescaya Allah akan mendatangkan satu golongan dimana Allah mengasihi mereka dan mereka juga mengasihi Allah, mereka bersifat merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kemuliaan (kehibaan) terhadap orang-orang yang menentang Islam, mereka berjihad pada jalan menegakkan agama Allah, dan mereka tidak takut menghadapi celaan orang yang mencela, itu adalah kurniaan Allah yang diberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas kurniaannya lagi maha mengetahui.”

“ Sesungguhnya yang menjadi wali kamu ialah Allah, Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka sentiasa tunduk (patuh dan taat) kepada Allah, dan barang siapa yang berwalikan Allah dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman maka sesungguhnya golongan (parti) yang menegakkan agama Allah (Islam) itu akan mendapat kemenangan.”

(Surah Al-Maidah : ayat 54-56)

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sejak separuh abad yang lalu, adalah memenuhi perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mewajibkan kesinambungan risalah Islam yang syumul, serta mewujudkan kumpulan Islam yang bercirikan daripada ayat-ayat tersebut.

1. Menegakkan Islam yang menyeluruh, yang menjadi risalah para Rasul ‘Alaihimussolatu Wassalam, berakhir dengan kedatangan nabi akhir zaman Muhammad S.A.W yang wajib diikuti dan diteladani dalam semua marhalah, ‘aqidah, syari’at dan akhlak. Mengislamkan individu, masyarakat dan Negara dalam segala aspeknya.

2. Mewujudkan saf kumpulan Islam yang teguh, bercirikan keteguhan ukhuwwah dikalangan pendokong Islam dan umatnya, serta ‘izzah dalam menghadapi musuh-musuh Islam dan kerenah penganut Islam yang jahil dan lemah, tidak putus asa, takut dan hina.

3. Sedia berjihad secara faham dan bijak (Fiqhul Jihad), menegakkan Islam sehingga berkuasa dan mengatasi segala yang lain.

4. Wala’ kepada Allah, Rasul dan kepimpinan Islam yang berwibawa.


Memperkasa Parti

Kewajipan menegakkan Islam yang penuh cabaran, bukan sahaja ke arah mencapai kemenangan, dalam masa yang sama mempunyai persediaan mengisi kemenangan dan melangsungkan perjuangan berikutnya, melalui agenda parti yang tersendiri bagi memperkasakan parti dengan sifat-sifat parti Islam megikut acuan kita yang sangat berbeza dengan kumpulan dan pertubuhan yang lain. Walaupun mereka bersifat Islam, tetapi tidak sampai kepada penghujung yang memaksa berdepan dengan cabaran yang datang dari segenap penjuru. Tentangan daripada masyarakat yang jahil dan bermusuh dengan kita, serta pihak yang memegang tampuk pemerintahan, kebiasaannya tidak dapat memberi jalan percuma kepada Islam. Keadaan ini menjadikan PAS mengalami fitnah dan mehnah perjuangan yang tidak dialami oleh rakan-rakan yang lain, tanpa menafikan bahawa semua kumpulan Islam dan pendokongnya, dimana sahaja mereka berada, adalah sahabat seperjuangan.

Parti Islam seperti PAS wajiblah memperkasakan setiap ahli di semua peringat dan organisasi parti secara dalaman, bercirikan perintah Allah yang tersebut di atas. Dalam masa yang sama wajib mengatur langkah dan strategi perjuangan sebijak mungkin, khususnya bagi penyokong yang memerlukan kekuatan ‘aqidah, ilmu, akhlak dan kebijaksanaan. Dalam merelisasikan kewajipan berpolitik dan bermasyarakat, hendaklah mempunyai kemampuan mengajak manusia kepada Islam dengan menjadi penganutnya dan mengajak bukan Islam menjadi penyokongnya yang menerima kita kerana keyakinan kepada Islam yang adil untuk semua.

PAS mempunyai jentera disemua peringkat yang wajib menjadi rujukan ahli pendokongnya.

1. Majlis Syura Ulamak yang memelihara istiqomah parti di atas ‘aqidah perjuangan dan syariatnya supaya Islam itu sahaja yang menjadi keperkasaan yang membawa kejayaan dan kemenangan. Firman Allah (maksudnya);

“ ..dan kemuliaan itu kepunyaan Allah dan bagi RasulNya dan juga orang-orang yang beriman, tetapi mereka yang munafiq tidak mengetahuinya. .” ( Surah Al-Munafiqun : ayat-8)

Khalifah Umar Radhiyallahu ‘anhu menegaskan :

“ Kita adalah umat yang Allah kurniakan kemuliaan dengan Islam, maka apa cara sekalipun yang dipegang dan diamalkan lain daripada apa yang Allah kurniakan kepada kita, nescaya kehinaanlah yang akan menimpa kita..”

2. Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja di semua peringkat yang akan menjadi jentera pentadbiran dan gerakan parti, menjadi kepimpinan yang berwibawa, perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kematangan, sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud ;

“ Mereka yang menjadi pilihan dimasa jahiliyah menjadi pilihan juga apabila bersama dengan Islam sekiranya berilmu dan faham (tentang Islam)” ( Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Khalifah ‘Umar Radhiyallahu ‘Anhu menegaskan ;

“Jadilah orang yang memahami (faqih dan berilmu) sebelum kamu menjadi pemimpin”

Feqah itu merangkumi segala bidang Islam termasuk juga Fiqh Politik ( Fiqhu Siyasah)

3. Pembahagian mengikut Lajnah yang dibahagikan secara bidang masing-masing dengan menyeluruh menuju semua sasaran dalam masyarakat di semua peringkat dan pentadbiran mengikut susunan perhubungan negeri, kawasan dan cawangan di kebanyakan daerah diseluruh Negara, yang perlu dimantapkan dengan pengukuhan organisasi yang berperanan, wala’ kepada parti dan perlu aktif menjadi jentera yang berdakwah dan berkempen. Firman Allah Ta’ala (maksudnya) ;

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalannya dalam satu saf laksana bangunan yang didirikan daripada batu-bata yang disusun rapi dan diikat dengan sekuat-kuatnya” ( Surah As-Saff : Ayat-4)


Pencapaian

PAS menjadi parti yang paling berpengalaman dalam sejarah politik tanah air. Berjuang sejak zaman penjajah, melahirkan pemimpin yang tidak pernah tunduk kepada penjajah. Oleh kerana mengambil kira kemerdekaan yang dicapai dengan ciri-ciri penjajahan yang masih mengikat Negara dan rakyatnya atas prinsip dan konsep sekularisma yang menyeleweng daripada Islam, memaksa PAS mengharungi perjuangan yang paling banyak memberi pengalaman.

Berdepan dengan sistem demokrasi yang sangat tidak adil, tanpa memberi ruang langsung kepada pertukaran parti yang memerintah dengan berbagai-bagai akta dan undang-undang, namun kita tetap memilih “muwajahah silmiyyah” dengan menyertai pilihanraya dan menentang penyelewengan dan penipuan dengan sabar dan cekal. Walaupun begitu terbukti kita boleh menang melalui pilihanraya yang sebegitu rupa.

PAS menjadi paling berpengalaman, menjadi pembangkang secara bersendirian diperingkat negeri dan pusat, memerintah kerajaan negeri secara bersendirian, menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai Barisan Nasional di semua peringkat dan kembali bersendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk angkatan perpaduan ummah dan pakatan dengan parti-parti yang lain. Ahli-ahli boleh menerima keputusan pilihanraya dengan sabar dan istiqomah, walaupun memakan masa dan generasi. Maka kita hendaklah belajar daripada pengalaman itu secara positif.

Sekarang PAS mengambil pendekatan “Tahaluf Siyasi” (persefahaman politik), melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan Al-Quran, Al-Hadith, Al-Ijmak ‘Ulamak dan Qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syar’iyyah mengikut Perlembagaan PAS. Dengan kelulusan Majlis Syura ‘Ulamak, perlaksanaan oleh jawatankuasa kerja PAS pusat dan jawatankuasa politik yang disalurkan keseluruh Negara melalui jentera parti yang bergerak dan hidup disemua peringkat.

PAS telah mencapai satu kejayaan yang besar dalam pilihanraya yang lalu :

1. Di peringkat parlimen dengan jumlah yang ketiga besar di kalangan Pakatan Rakyat dengan 23 kerusi.

2. Mendapat tempat pertama diperingkat negeri dengan mengekalkan pemerintahan di Kelantan dengan keadaan yang paling selesa, memimpin kerajaan campuran di Kedah sehingga kini dan Perak dalam masa hampir setahun.

3. Mendapat kerusi di semua negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak.

4. Jumlah terbesar diperingkat negeri ( Dewan Undangan Negeri) 83 kerusi PAS, 70 DAP dan 40 PKR, kerana PAS memilih penumpuan menguasai negeri di peringkat ini. Dengan bacaan politik yang tepat, belum lagi mempunyai tahap kemampuan menguasai kerajaan pusat.

5. Memenangi pilihanraya kecil peringkat negeri dan parlimen kecuali di Bagan Pinang.

6. Berjaya memecahkan tembok pemisahan dengan pengundi bukan Islam, apabila secara langsung ditubuhkan Kelab Penyokong PAS di samping mengadakan Tahaluf Siyasi dengan parti dan kumpulan bukan Islam.

Kesemua pencapaian ini hendaklah dimuhasabah semula kejayaan dan kelemahannya disemua peringkat sama ada kerajaan negeri termasuklah wakil rakyat negeri dan parlimen serta memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara yang lebih aktif, bagi meningkatkan lagi kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.


Memperkukuhkan Penyertaan Dalam Pakatan Rakyat.

Hubungan yang kita bina bersama dengan parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat adalah bertitik tolak dari asas persamaan yang semua pihak bersetuju, iaitu memerangi ketidak adilan, penyelewengan, rasuah dan segala bentuk kezaliman yang sedang bermaharajalela dalam Negara kita. Semua ini berlaku tanpa kita mengorbankan dasar dan matlamat PAS yang sama-sama kita pegang iaitu PAS bergerak di atas sifatnya sebagai sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah.

Alhamdulillah, strategi kerjasama dalam bentuk tahaluf siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dlam parti Barisan Nasional, sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan dalaman Barisan Nasional sebagaimana yang kita saksikan pada waktu ini.

Dalam membicarakan hubungan PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat ini, ingin saya pertegaskan untuk kesekian kalinya, bahawa kita akan terus bersama dalam Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki. Kita aka memainkan peranan yag lebih aktif, sebagaimana yang telah sama-sama kita bahaskan dalam dua muktamar PAS yang lalu.


Menghadapi Pilihanraya Ke-13

PAS hendaklah membina dan memperkukuhkan lagi kekuatan di atas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam, dalam masa yang sama hendaklah mendapat undi bukan Islam sebaik mungkin kerana inilah realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk, dan inilah juga pendekatan politik Islam dengan syarat memelihara batas-batas tahaluf siyasi yang diizinkan oleh ‘aqidah, syari’at dan akhlak dengan menjaga sempadan yang memelihara wala’ kepada perjuangan Islam. Sila rujuk sirah penubuhan Negara Islam pertama di Madinah Al-Munawwarah.


Kesimpulan

Melihat dan meneliti semua pencapaian tersebut, maka hendaklah dilakukan penerusan langkah parti mengikut pengamatan semasa yang kita putuskan dalam dua muktamar yang lalu, mengikut muhasabah kepimpinan secara kolektif dengan melaksanakan perkara-perkara berikut :

1. Berdiri di atas kekuatan yang sedia ada dengan mengemukakan Pakatan Rakyat yang dimuhasabahkan sepanjang masa.

2. Menguatkan kedudukan PAS dalam menerajui perubahan dan islah, dengan menguatkan saf parti bersama kumpulan Islam.

3. Keterbukaan mengadakan hubungan dengan semua pihak, yang membawa kepada penyertaan yang memberi kemenangan kepada Islam, mengikut konsep dakwah dan siyasah syar’iyyah.


Abdul Hadi Bin Haji Awang Muhammad
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Sunday, November 8, 2009

UMNO Hanya Hendak Memburukkan Pakatan Rakyat


TAULIAH - APAKAH KERANA DIA DR ASRI ATAU KERANA UNTUK MENGAIBKAN PAKATAN RAKYAT, ATAU ADA AGENDA LAIN…..
SELASA, 03 NOVEMBER 2009 | 15 ZULKAEDAH 1430H

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Isu pendakwaan terhadap Dr Asri bukanlah perkara aneh atau pelik. Bahkan PAS konsisten membantah tindakan tersebut. Cuma yang anehnya ialah kenapa UMNO bersungguh-sungguh membantah dakwaan terhadap Dr Asri, sedangkan sepatutnya kita kena konsisten terhadap kes, bukan siapa yang terlibat.

Isu larangan ceramah tanpa permit bukan perkara baru. Bahkan sebelum ini pun bekas Mufti Selangor, Almarhum Dato' Ishak Baharom pernah dihalang menyampaikan ceramah di Selangor. Lagi pelik, beliau bekas Mufti Selangor, tak dibenarkan ceramah di Selangor. Begitu juga Dato' Dr Harun Din juga pernah dihalang, sedangkan ribuan pelajarnya di UKM menerima ilmu darinya, bahkan yang nak halang dia pun bekas anak muridnya. Begitu juga Dato' Ismail Kamus, Mufti Perak Dato' Harussani juga dihalang menyampaikan kuliah di beberapa negeri.

Apakah istimewa Dr Asri berbanding tokoh lain? Bagi saya isunya bukan Dr Asri, sebenarnya isu yang besar adalah bagaimana untuk memburuk-burukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Kerana itulah media membesar-besarkan isu ini.

Saya sangat tidak bersetuju bila mana tokoh agama dilarang menyampaikan kuliah dan ceramah atas alasan tiada tauliah. Kita telah kenal ilmunya dan kemahiran yang ada, tetapi itulah hakikat yang sedang berjalan. Sebenarnya tindakan JAIS itu betul dengan peraturan, yang sepatutnya kalau dilihat dari sudut penceramah yang menyampaikan ceramah tanpa tauliah, memang melanggari peraturan dan JAIS mengambil tindakan tepat pada kesalahan tersebut. Yang pelik bukan tindakan JAIS, tetapi tindakan pemimpin UMNO membela mereka yang bersalah mengikut undang-undang Jababan Agama Islam Selangor. Jawapannya bukan kerana Dr Asri, tetapi kerana ia berlaku di negeri Selangor. Sebagai perbandingan kalau ia berlaku kepada Dr Harun Din, dan tangkapan dibuat pula di negeri Johor, saya yakin kenyataan dari pemimpin UMNO akan berubah bentuk. Inilah hakikat yang cuba disembunyikan.


Sekali lagi saya nyatakan bahawa jabatan-jabatan agama setiap negeri harus bezakan antara tokoh agama yang mempunyai ijazah dalam bidang agama, dan diiktiraf oleh masyarakat. Takkanlah mereka ini pun perlukan tauliah juga. Kena tengoklah siapa mereka, bukan tengok di negeri mana mereka berceramah sahaja. Kerana itu, pimpinan PAS kita konsisten menentang keperluan tauliah bagi golongan yang memang diketahui keilmuannya, diiktiraf oleh masyarakat dan mempunyai kepakaran dalam bidang agama untuk menyampaikan ilmu agamanya di mana sahaja.
SETIAP SAAT PERUBAHAN HENDAKLAH UNTUK MEMENANGKAN ISLAM
Setiap saat umat Islam hendaklah melakukan perubahan pada dirinya. Firman Allah;"Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia".[Ar Ra'd:11]
Oleh itu, jalan yang selamat adalah kembali berpegang pada Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w semoga umat Islam Malaysia sentiasa mendapat perlindungan Allah Taala.
______Dari Lajnah Penerangan Dan Dakwah_____